Khamis, 31 Disember 2009

Isu Yuran Sekolah & Bayaran Tambahan


Bayaran tambahan tidak membebankan

KUALA LUMPUR - Bayaran tambahan persekolahan yang akan diseragamkan Kementerian Pelajaran bermula tahun depan tidak membebankan, malah lebih rendah berbanding tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom (gambar) berkata, bayaran tambahan tidak harus disalahertikan dengan pembayaran lain yang bergantung kepada persetujuan antara pihak sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

"Bayaran tambahan yang diseragamkan merangkumi aktiviti kokurikulum, kertas ujian dalaman, sukan tahunan sekolah, kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Insurans Takaful.

"Pembayaran lain seperti majalah sekolah, program kelas komputer dan tuisyen adalah bergantung kepada persetujuan antara pihak sekolah dan PIBG," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kekeliruan yang timbul berikutan kadar pembayaran tambahan yang diseragamkan untuk pelaksanaan sesi persekolahan 2010.

Kelmarin, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, kementerian tidak menetapkan harga siling bayaran tambahan yang boleh dikutip daripada ibu bapa oleh PIBG sekolah-sekolah.

Dalam perkembangan berkaitan, Alimuddin berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menetapkan harga siling bagi pembayaran lain yang boleh dikutip PIBG, sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada pihak sekolah.

"Sekolah di Kuala Lumpur tidak sama dengan sekolah di kawasan pedalaman Sabah.

"Mungkin wang RM10 di luar bandar nilainya tinggi tetapi di Kuala Lumpur, ia hanya sekadar harga sekotak rokok," katanya.

Walaupun begitu, katanya, bagi mengelakkan kutipan wang yang terlalu tinggi, PIBG sekolah harus berhubung dengan Jabatan Pengarah Pelajaran Negeri terlebih dahulu untuk mendapatkan kelulusan.

Yuran sekolah boleh dijelaskan sehingga akhir tahun

KUALA LUMPUR - Ibu bapa dibenarkan menjelaskan yuran sekolah dan bayaran tambahan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bermula sesi persekolahan depan sehingga akhir 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, bayaran secara ansuran itu diharap meringankan beban ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah serta mereka yang mempunyai ramai anak sedang bersekolah.

Tahun lalu jelasnya, ibu bapa serta penjaga diminta menjelaskan kesemua yuran persekolahan murid-murid pada bulan Jun.

''Dengan penambahan masa dan pembayaran secara berperingkat, Kementerian Pelajaran berharap ia dapat meringankan beban ibu bapa serta penjaga.

''Cuma saya harap, ibu bapa tidak terlalu berkira mengenai persekolahan anak-anak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kementerian sebelum ini menetapkan yuran sekolah rendah pada kadar RM24.50 dan RM33.50 bagi sekolah menengah.

Ia merangkumi bayaran untuk kurikulum, kertas ujian dalaman, sukan tahunan, kegiatan Pendidikan Islam serta Moral, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan insurans Takaful.

Pada 2 Disember lalu pula, kementerian mengumumkan akan mengenakan bayaran tambahan kepada ibu bapa bermula sesi persekolahan depan bagi manfaat para pelajar.

Alimuddin menjelaskan, ibu bapa dibenar membuat pembayaran sehingga akhir tahun depan kerana tidak semua aktiviti pelajar berlangsung pada awal atau pertengahan tahun.

''Arahan ini telah disampaikan kepada semua Pengarah Pelajaran Negeri. Saya harap semua sekolah maklum dan tidak ada (sekolah) yang mengasak ibu bapa untuk menjelaskannya segera,'' tegasnya.

Jumaat, 25 Disember 2009

Keratan Akhbar


Guru sukan dikenal pasti

BATU PAHAT - Kementerian Pelajaran mengenal pasti beberapa guru sukan profesional untuk ditempatkan di sekolah harian biasa di seluruh negara bagi memantapkan aktiviti sukan peringkat sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, penempatan mereka selaras dengan langkah kerajaan untuk menjadikan sukan satu elemen penting dalam pendidikan mulai tahun depan.

Menurutnya, guru terbabit yang diberikan latihan khas akan ditempatkan di sekolah-sekolah tertentu di setiap daerah bagi membolehkan kepakaran mereka dikongsi bersama oleh sekolah-sekolah berhampiran.

''Tujuannya kita hendak melihat sekolah melahirkan ahli-ahli sukan negara suatu hari nanti," katanya ketika merasmikan gelanggang sukan pelbagai guna dan pertandingan futsal di Pantai Rekreasi Punggur, Rengit.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil.

Menurutnya, walaupun guru sukan profesional ditempatkan di setiap daerah namun pembinaan sekolah sukan tetap diteruskan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri memandang serius perkembangan sukan sekolah dan mahu kokurikulum itu dimantapkan lagi. - Oleh Jaafar Ahmad (utusanjohor@utusan.com.my)

Selasa, 22 Disember 2009

Keratan Akhbar!

Boleh masuk sekolah

KANAK-KANAK
yang tidak mempunyai dokumen kelahiran boleh didaftarkan masuk ke sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan selepas mendapat surat pengesahan ketua kampung, termasuk kaum pendatang dan pekerja berpermit.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad bin Zarkashi (gambar), berkata sebenarnya tidak timbul masalah bagi kanak-kanak yang tiada dokumen untuk belajar.

“Jika tidak ada dokumen tetapi ada pengesahan ketua kampung, itu diterima pakai, sebab itu untuk pendidikan, untuk sekolah.

“Soal nak mohon warga negara itu soal lain. Kalau tidak ada dokumen tetapi disahkan oleh ketua kampung, dia akan diterima masuk, maksudnya tidak timbul arahan mereka ini kena pergi jumpa pegawai pendaftaran untuk diterima masuk ke sekolah.

“Ini cukup jelas, cuma saya nak perjelaskan, timbul kekeliruan mengenai pendatang. Kalau pendatang asing tanpa izin memang kita tidak terima.

“Tetapi kalau pendatang seperti pelarian Rohingya atau Kampuchea dan pekerja yang ada permit, kita terima tapi dia kena bayar yuran tahunan RM120,” katanya. - Oleh Idris Musa (idris@hmetro.com.my)

Jumaat, 18 Disember 2009

Mesej PM


Ruh hijrah bertepatan idea 1Malaysia: PM

Datuk Seri Najib Razak berkata semangat hijrah yang diamalkan dalam Islam sangat bertepatan dengan konsep Gagasan 1Malaysia yang merupakan kesinambungan prakarsa ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Perdana menteri berkata gagasan yang berteraskan kepada nilai murni yang berpaksikan prinsip keadilan sosial dan prinsip penerimaan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara demi kemakmuran bersama.

Dalam perutusan Maal Hijrah 1431, beliau berkata cabaran paling besar yang dihadapi sepanjang 52 tahun penubuhan Malaysia ialah membentuk perpaduan rakyat, tetapi ironinya ialah, perpaduan boleh dipupuk melebihi sempadan politik demi kepentingan negara.

"Kejayaan ini tidak datang bergolek sebaliknya memerlukan semangat hijrah yang tinggi, kesetiaan dan ketabahan.

"Kita telah melaksanakan agenda penghijrahan dalam bidang ekonomi dengan melakukan penghijrahan ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian.

"Sekarang, kita melaksanakan pula hijrah ke bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.

"Ini semua bagi menjayakan transformasi ekonomi ke arah memacu Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi secara holistik dan mapan, mengutamakan bidang inovasi dan kekal relevan dalam persaingan ekonomi global," katanya.

Najib berkata masyarakat negara ini harus berhijrah untuk sentiasa berprestasi lebih baik tanpa mengira peranan sama ada mereka pemimpin, kerajaan ataupun rakyat.

"Kita perlu mengurus kejayaan dan membina kekuatan ummah dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang telah dipupuk selama ini.

"Ingatlah lipatan sejarah yang sarat dengan catatan kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai, sehingga Malaysia kini muncul antara negara membangun paling maju, dinamik dan progresif," katanya.

Perdana menteri berkata, formula yang mendasari kejayaan ini adalah faktor perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada konsep 'wasatiyah' (kesederhanaan) dengan menerima kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan.

"Natijahnya, walau apa pun definisi hijrah menurut perspektif kita, yang penting kita tidak boleh berkovensi dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan dan merintis inovasi baru," katanya.

Menurut Najib, semua kejayaan itu boleh digapai melalui penghijrahan nilai tambah kepada lebih berinovasi tinggi dan daripada perpaduan sesama kepada perpaduan Satu Ummah.

Perdana menteri bekata bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah', sebuah negara yang maju dan progresif memerlukan ummah yang mempunyai potensi dan sahsiah diri yang utuh dan mapan.

"Khaira ummah dicerna melalui satu ukhuwah yang didasari oleh nilai ketamadunan dan peradaban yang tinggi.

"Keperluan mengamalkan konsep wasatiyah perlu dilaksanakan dalam usaha membangun pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kekitaan, kepunyaan dan kebersamaan dalam memastikan objektif perpaduan Satu Ummah dapat dicapai dengan lebih berkesan," katanya.

Najib berkata konsep persaudaraan dan perpaduan yang diutuhi oleh Rasulullah pada permulaan hijrah adalah secara holistik tanpa mengira warna kulit, keturunan atau kedudukan.

"Masyarakat di Madinah waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh aman dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan perpaduan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan sosial kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan beragama Islam di bawah pemerintahan Negara Madinah," katanya. - BERNAMA

Khamis, 10 Disember 2009

Al Fatihah



Keterangan gambar: Allahyarham bertukar pandangan sambil mendengar cadangan dari bapa murid Tahun 2, semasa majlis Mesra Pelanggan, Penggal Kedua, Ogos lalu.

Warga Pendidik SKHK kehilangan Guru Berpengalaman

SALAM TAKZIAH kepada keluarga guru Penolong Kanan Sekolah Petang, Abd Wahid Bin Mohd Yusof, yang kembali ke rahmatullah, jam 3 pagi tanggal 10 Disember 2009.

Pemergian guru Penolong Kanan Sekolah Petang, Abd Wahid Bin Mohd Yusof, mengejutkan ramai warga guru, AJK PIBG dan ibu bapa.
Menurut ahli keluarga Allahyarham, sebelum menghembuskan nafas disisi isteri dan anak-anak, beliau mengadu badan panas.
Allahyarham Abd Wahid Bin Mohd Yusof, mula berkhidmat sebagai seorang tentera sebelum menyertai dunia perguruan, hampir 20 tahun lamanya. Allahryarham pernah mencurah bakti di beberapa sekolah di Selangor. Antaranya, Sekolah Kebangsaan Sungai Pusu, Sekolah Kebangsaan Melawati dan terakhir di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang, Ampang, Selangor.
Sebagai guru Penolong Kanan Sekolah Petang, Abd Wahid Bin Mohd Yusof, di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang, Allahyarham hanya sempat mencurah bakti selama tujuh tahun, bermula pada 2002. Disayangi murid-murid Tahun 2, sekalipun tegas, Allahyarham banyak memberi nasihat dari menghukum, mengajar subjek Pendidikan Kesihatan dan Seni Lukis, dikenali seorang yang berjiwa nasionalisma. AJK PIBG, warga pendidik dan murid sekolah yang baru mengenali Allahyarham, menyifatkan kehilangan Allahyarham amat dirasai dan menyentuh sanubari. Allahyarham juga amat disenangi kerana sikap rendah diri serta mempunyai gagasan minda dan luas pengalaman dalam mendidik selama bergelar cikgu. Semoga roh Allahyarham yang dikebumikan di tanah kelahirannya, di Masjid Tanah, Melaka, dicucuri rahmatNya dan disemadikan di sisi orang-orang yang solehin. Al Fatihah.


Rabu, 9 Disember 2009

Sedutan Akhbar!

KP Pelajaran Sambut Baik Wajibkan Sukan Di Sekolah

PETALING JAYA - Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom menyambut baik saranan supaya dasar pendidikan kokurikulum di sekolah diubah dengan menjadikan sukan sebagai aktiviti wajib.

Katanya peranan guru tidak akan bertambah walaupun dasar berkenaan diperkenalkan.

"Peranan guru tidak akan bertambah walaupun aktiviti sukan akan diwajibkan di peringkat sekolah," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mahu dasar berkenaan diwajibkan bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang kokurikulum.

Menurut Alimuddin lagi, proses pembelajaran tidak akan terganggu walaupun aktiviti sukan diwajibkan dalam kokurikulum pelajar.

"Proses pembelajaran pelajar sekolah sama sekali tidak akan terganggu walaupun aktiviti sukan sudah menjadi kewajipan dalam kokurikulum pendidikan negara.

"Untuk melahirkan ahli sukan dan atlit yang bermula di bangku sekolah dan seterusnya bagi meningkatkan kemajuan sukan negara," katanya.

Tambah Alimuddin, pihak guru semestinya bijak mengatur jadual untuk aktiviti sukan di sekolah supaya proses pembelajaran dapat dijalankan dengan sempurna.

Katanya, aktiviti sukan yang terdapat dalam silibus pendidikan sedia ada sememangnya berkesan untuk melahirkan pelajar yang cergas dan cerdas. - mStarOnline

Selasa, 8 Disember 2009

Bicara Akademi

Peranan pengetua dan guru besar sebagai pemimpin sekolah
Oleh: Prof Datin Dr Rahimah Ahmad, Felo Penyelidik Kanan Institut Pengajian Kepengetuaan Universiti Malaya
TUGAS pengetua dan guru besar sebagai pemimpin sekolah kini semakin mencabar kerana selain berdepan tuntutan hakiki memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan lancar, pada masa sama mereka terpaksa memenuhi pelbagai tanggungjawab lain.
Antaranya mereka juga perlu menghadiri mesyuarat di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pelajaran negeri, selain mengikuti kursus berkaitan.
Bebanan tugas itu menjadikan mereka ada kalanya tidak terkejar dan terpaksa mengagihkan tugas mengurus kepada guru penolong kanan.
Proses mengagihkan tugas kepada guru lain itu dapat mewujudkan semangat kerja dalam pasukan yang tinggi, selain memberi kepercayaan pegawai lain dalam menjayakan tugas mengurus.
Namun pada masa sama, sesibuk mana sekali pun mereka, pemimpin sekolah tidak boleh melepaskan tanggungjawab mengawal selia proses P&P kerana ia adalah aktiviti teras yang menjadi tunggak kecemerlangan pendidikan.
Proses P&P berkesan menjadi penanda aras kepada kecemerlangan sesebuah sekolah sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.
Sebagai pemimpin berpengalaman dan melaksanakan proses P&P ketika menjadi guru biasa, kini bidang tugas mereka hanya memantau pelaksanaannya dan memastikan ia berjalan lancar.
Sebagai pemimpin mereka perlu peka mengenai keperluan semasa dan kehendak pelajar. Pemantauan menyeluruh mengenal pasti prestasi adalah langkah awal pemimpin meningkatkan perkhidmatan sedia ada.
Suntikan semangat serta bimbingan berterusan kepada guru penting supaya mereka dapat terus mendidik dengan penuh dedikasi.
Guru juga memerlukan bimbingan dan sokongan serta suntikan motivasi daripada pemimpin supaya mereka dapat memberikan yang terbaik dan sedia berganding bahu dalam memenuhi aspirasi sekolah mencapai kecemerlangan.
Tidak dinafikan terlalu ramai guru besar dan pengetua terpaksa menghabiskan banyak masa di luar sekolah. Tugas mereka semakin mencabar terutama apabila berdepan dengan penanda aras kecemerlangan yang diukur berdasarkan pencapaian akademik menerusi sistem peperiksaan.
Tanpa disedari keghairahan mencapai kecemerlangan menyebabkan mereka terlepas pandang hingga menyebabkan proses P&P tidak seimbang.
Guru mengajar semata-mata untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran dan membolehkan peperiksaan dilaksanakan secepat mungkin.
Pemimpin sekolah perlu melihat keadaan ini sebagai sesuatu yang perlu diperbaiki. Senario ini menyebabkan ketulenan proses P&P tidak wujud kerana pelajar mengikuti pengajian semata-mata untuk menghabiskan silibus tetapi gagal menghayati pengetahuan dipelajari.
Kita tidak mahu melahirkan pelajar cemerlang akademik semata-mata kerana khuatir apa yang dipelajari gagal menjadikan mereka insan berilmu dan memiliki sahsiah yang tinggi.
Pengetahuan bersifat subjektif, hanya pelajar yang dapat menghayati ilmu menjadikan mereka benar-benar individu berfikir dan membentuk sahsiah serta personaliti unggul.
Sebelum ini banyak aduan terutama daripada ibu bapa mengenai sikap ghairah sekolah yang mengutamakan kecemerlangan akademik menyebabkan pelajarnya tertekan.
Tekanan yang diberikan pemimpin sekolah menyebabkan pelajar terutama di mereka yang cerdik terasa seolah-olah dipergunakan.
Tindakan itu apabila diperhalusi ada sebabnya dalam usaha mendisiplinkan pelajar supaya memberikan perhatian berterusan dalam memacu kecemerlangan dan mengharumkan nama sekolah.
Tanpa disedari proses pembelajaran itu lebih menyeluruh kerana selain memberi ilmu pengetahuan, pada hakikinya ia membentuk insan terus berfikir apa yang dipelajari dan mengamalkannya dalam kehidupan harian.
Kebanyakan pemimpin di sekolah adalah mereka berpengalaman mengajar dan seharusnya di peringkat pentadbiran, masing-masing sudah bersedia berdepan suasana sedemikian.
Pastikan pengalaman dikongsi bersama dalam menjayakan proses P&P yang lebih berkesan bagi melahirkan generasi lebih berdaya saing serta cemerlang akademik dan sempurna sahsiah.

Isnin, 7 Disember 2009

Berita Sana Sini


Muhyiddin Mahu Sukan Jadi Kokurikulum Wajib Di Sekolah
MUAR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mahu dasar pendidikan kokurikulum di sekolah diubah dengan menjadikan sukan sebagai aktiviti wajib.

Berucap pada majlis makan malam bekas pelajar Sekolah Menengah Tinggi Muar, di sini semalam, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata penekanan terhadap sukan menjadi dasar baru kementeriannya bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang kokurikulum.
"Kokurikulum ada macam-macam sama, ada sukan dan bukan sukan yang termasuk kelab, persatuan dan badan beruniform. Saya hendak ubah sikit dasar. Yang wajib ialah sukan," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang juga rakan sekelas Muhyiddin ketika menuntut di sekolah berkenaan di Tingkatan Enam Rendah dan Enam Atas, pada 1965 dan 1966.

Muhyiddin berkata kementerian mahu mengembalikan kegemilangan bidang sukan di setiap sekolah dan ganjaran serta insentif akan diberikan bagi mencapai tujuan berkenaan.

"Kita tidak mahu cemerlang di dalam akademik sahaja, tetapi mesti juga dalam bidang yang lain. Kita mahu bawa balik sukan ke sekolah-sekolah," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang mengibaratkan kepulangannya ke sekolah yang ditubuhkan pada 1902 itu sebagai "sirih pulang ke gagang" berkata sekolah berkenaan banyak melahirkan kenangan manis kepada beliau sehingga berjaya pada hari ini.

Beliau berkata antara kenangan manis itu ialah berpeluang menyertai pementasan teater "Uda dan Dara".

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pendiam ketika bersekolah, Muhyiddin berkata jasa guru-guru di sekolah berkenaan tidak akan beliau lupakan walaupun beliau sendiri tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang Timbalan Perdana Menteri hari ini.

Muhyiddin turut merasmikan muzium warisan Sekolah Tinggi Muar dan mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi menubuhkan kumpulan pancaragam Sekolah Tinggi Muar. BERNAMA

Ahad, 6 Disember 2009

Berita Sana sini!


Sistem Pelajaran Perlu Diubah Untuk Keperluan Pelajar Pintar Cerdas - PM

BANGI - Sistem dan kaedah pembelajaran serta pengajaran untuk pelajar pintar cerdas perlu diperbaiki serta diperhebatkan selepas sekian lama ia seakan terabai kerana tumpuan lebih diberikan kepada pelajar golongan khas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sistem pendidikan negara selama ini hanya memberi keutamaan dan tumpuan kepada pelajar golongan khas tanpa menyedari tumpuan yang sama harus diberikan kepada pelajar pintar.

"Selama ini kita lihat dasar pendidikan negara kita ada kelas untuk pelajar biasa dan ada kelas khas untuk pelajar cacat penglihatan, cacat pendengaran, autisme, sindrom down dan segala aspek daripada segi kecacatan dan kelemahan diambil kira tapi kita lupa ada pelajar yang kecerdasan mereka, merupakan golongan luar biasa.

Luar biasa daripada segi mereka berfikir, luar biasa daripada segi mereka belajar. Mereka juga perlukan pembelajaran yang baik," katanya semasa merasmian perkhemahan cuti sekolah PERMATA pintar negara di sini hari ini.

Najib berkata sudah tiba masanya aspek pembelajaran dan pengajaran yang sesuai untuk golongan pelajar pintar cerdas diadakan selepas sekian lama ia terbiar sedangkan ia telah lama wujud di negara-negara lain.

"Sudah sampai masanya kita melakukan perancangan untuk keperluan pelajar-pelajar seperti ini. Saya yakin program seperti ini sama ada tadika pintar, sekolah pintar, akan membawa perubahan besar pada pembentukan jati diri bangsa yang lebih hebat untuk masa akan datang," katanya.BERNAMA

Jumaat, 4 Disember 2009

Berita Terkini!

Keterangan gambar: Tan Sri Muhyiddin bersama isteri Puan Sri Noraini, bersama staf dan pegawai Maybank Pagoh, selepas merasmikan cawangan bank ini. Foto ihsan: Minaq Jinggo
Kementerian Pelajaran teliti sesi persekolahan 2010
PUTRAJAYA - Kementerian Pelajaran melakukan penelitian secara dekat membabitkan persiapan menghadapi sesi baru persekolahan pada tahun depan.
Ini bagi memastikan semua isu berhubung penggal persekolahan dapat ditangani sebelum sesi persekolahan 2010 bermula.
Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di sini hari ini
Menurut kementerian itu, jawatankuasa tersebut memperincikan semua isu berkaitan persekolahan dan mengambil tindakan proaktif bagi menyelesaikannya.
"Segala isu melibatkan pelbagai aspek seperti infrastruktur, perabot, peralatan, penempatan guru, bayaran tambahan dan banjir.
"Komitmen kementerian adalah memastikan kemudahan asas untuk setiap murid iaitu satu set meja dan kerusi serta sat set buku teks bantuan disediakan pada hari pertama persekolahan," kata kenyataan yang dikeluarkan pada mesyuarat berkenaan di sini.
Sesi persekolahan tahun depan bermula pada 3 dan 4 Januari 2010.
Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri dan ketua-ketua jabatan di kementerian itu.
Kenyataan itu menyebut, isu-isu yang mungkin timbul semasa sesi persekolahan 2010 dikenalpasti oleh Jawatankuasa Petugas Khas Penggal Persekolahan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.
"Jawatankuasa itu telah mengenal pasti tindakan-tindakan yang perlu atau boleh diambil bagi mengatasi dan mengurangkan masalah yang mungkin timbul pada hari pertama persekolahan.
"Ini mengunakan instrumen Pangkalan Data Laporan Akhir Tahun (dBLAT)," katanya.

Khamis, 3 Disember 2009

Berita!


Bayaran tambahan persekolahan

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran akan mengenakan bayaran tambahan kepada pelajar bagi sesi persekolahan tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, berbeza dengan yuran persekolahan, bayaran tambahan tersebut akan digunakan untuk manfaat para pelajar.

Menurut beliau, yuran persekolahan pula akan digunakan untuk menampung hal ehwal pentadbiran sekolah serta penambahbaikan beberapa kemudahan yang disediakan.

Katanya, jumlah bayaran tambahan itu akan diumumkan kelak dan ia boleh dibayar ketika sesi persekolahan bermula.

"Bayaran tersebut tidak akan membebankan ibu bapa dan para pelajar. Ia juga akan digunakan untuk kemudahan dan aktiviti mereka.

"Sebagai contoh, duit yuran tambahan itu akan digunakan sebagai insurans dan untuk menjayakan aktiviti kurikulum pelajar sepanjang sesi persekolahan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas hasil perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Dalam pada itu, Alimuddin berkata, mesyuarat itu kebiasaannya akan diadakan setiap hujung tahun bagi meneliti persiapan persekolahan serta menangani pelbagai isu yang timbul sebelum bermulanya sesi persekolahan baru.

"Dalam mesyuarat tersebut, apa jua perkara berbangkit seperti infrastruktur, perabot, peralatan dan jumlah guru akan diperbincangkan.

"Ini bertujuan agar para pelajar dapat mengikuti sesi persekolahan dalam keadaan selesa serta memastikan segala kemudahan yang disediakan berada dalam keadaanbaik," jelasnya.

Sesi persekolahan baru bermula pada 3 dan 4 Januari ini.

Ahad, 29 November 2009

Info Asrama Penuh!


61 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seluruh negara

SEKOLAH Berasrama Penuh (SBP) merupakan kumpulan sekolah menengah perdana dikhaskan untuk pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di dalam UPSR dan PMR. Tujuan asal penubuhan sekolah jenis ini ialah untuk memberi peluang kepada pelajar bumiputera di luar bandar.

Ini adalah kerana pada awalnya, sekolah berasrama hanyalah sekolah berasrama Inggeris / ala Inggeris (seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar) yang terhad kepada anak-anak Raja dan orang kenamaan sahaja. Namun kini, semua sekolah berasrama penuh adalah sama dan terbuka kepada semua warganegara Malaysia.

Di sekolah berasrama penuh waktu belajar telah diatur oleh pihak sekolah dan setiap pelajar perlu mematuhi jadual tersebut. Inilah satu keunikan kehidupan sekolah berasrama penuh dibandingkan dengan kehidupan pelajar di sekolah harian biasa.

Matlamat SBP

1. Mewujudkan peluang untuk pelajar yang berpotensi terutamanya dari kawasan dari luar bandar bagi mendapatkan pendidikan dengan kemudahan yang teratur, sempurna dan terkini dalam iklim persekolahan yang kondusif.

2. Memperbanyakkan peluang pelajar bumiputera mendapat pendidikan berkualiti sebagai persediaan ke arah pendidikan tinggi untuk memenuhi keperluan negara.

3. Melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai kepimpinan cemerlang melalui pendedahan hidup bermasyarakat sarwajagat.

4. Melahirkan insan dan warganegara yang bertanggungjawab, berilmu, beriman dan beramal sesuai dengan nilai-nilai hidup masyarakat Malaysia.

5. Melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai kemampanan sahsiah yang mampu menghadapi alam remaja.

6. Melahirkan kesedaran kepada seluruh warga SBP supaya dapat menghayati matlamat kecemerlangan SBP.

7. Mewujudkan warga SBP yang mengamalkan budaya penyayang.

8. Melahirkan kejituan semangat patriotisme di kalangan pelajar SBP.

9. Menghasilkan pelajar-pelajar yang dapat menguruskan kerja-kerja dengan cekap, pantas, tepat dan bijaksana.

10. Menjayakan program pendidikan menengah yang berorientasikan sains bagi mewujud tuntutan wawasan 2020.

Senarai Sekolah Berasrama Penuh:

1. Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS)

2. Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK)

3. Kolej Tunku Kurshiah (KTK)

4. Maktab Tentera Di-Raja (MTD) [1]

5. Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH) [2]

6. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (INTEGOMB)

7. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng (IGOP) [3]

8. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol (JETS) [4]

9. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (INTEK)

10. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu

11. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan (INTEP)

12. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang (SEPINTAR)

13. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam (INTESABER)

14. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar

15. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh [5] (InSoFT)

16. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit

17. Sekolah Dato Abdul Razak (SDAR)

18. Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK)

19. Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (SMAPL) [6]

20. Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASIS) [7]

21. Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh (akan dibuka)

22. Sekolah Menengah Sains Dungun (SMSD)

23. Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR)

24. Sekolah Menengah Sains Johor (SMSJ)

25. Sekolah Menengah Sains Kepala Batas

26. Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi (SAKTI)

27. Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (KUSESS)

28. Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu (SESTER)

29. Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu (akan dibuka)

30. Sekolah Menengah Sains Kuching (SAINSKU)

31. Sekolah Menengah Sains Labuan

32. Sekolah Menengah Sains Lahad Datu

33. Sekolah Menengah Sains Machang (SMACH)

34. Sekolah Menengah Sains Miri (SMSM @ Sainsri)

35. Sekolah Menengah Sains Muar (SAMURA) [8]

36. Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC) [9]

37. Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh (SCIPP)

38. Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (SAINA) [10]

39. Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS)

40. Sekolah Menengah Sains Rembau (SEMESRA) (akan dibuka)

41. Sekolah Menengah Sains Selangor

42. Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER)

43. Sekolah Menengah Sains Seri Puteri (SESERI)

44. Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan (SEMSAS)

45. Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar Mersing (SMSSI)

46. Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA)

47. Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa (SAINS KEDAH) [11]

48. Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI)

49. Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah Raub (SEMESTA)

50. Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP)

51. Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar (STJ)

52. Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP)

53. Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (SMSTSSS)[12]

54. Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH)

55. Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah Pekan (SHAH PEKAN)

56. Sekolah Seri Puteri (SSP)

57. Sekolah Sultan Alam Shah (SAS)

58. Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR)

59. Sekolah Tun Fatimah (STF)

60. Sekolah Menengah Sains Tapah (akan dibuka)

61. Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT)

Jumaat, 27 November 2009

Berita Sana Sini!

Kemasukan Pelajar Ke Sekolah Berasrama Penuh Diketahui 25 Disember Ini
PUTRAJAYA: Keputusan pemilihan dan penempatan pelajar Tingkatan Satu di sekolah berasrama penuh (SBP) tahun depan akan diumumkan selewat-lewatnya 25 Disember ini.
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (gambar) berkata semakan mengenai keputusan itu boleh dibuat melalui laman web kementerian iaitu www.moe.gov.my.
"Murid Tingkatan Satu SBP dijangka akan mendaftarkan diri di kesemua 53 buah SBP yang ditawarkan pada 11 Januari depan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Alimuddin berkata sebanyak 95,826 permohonan diterima berhubung perkara tersebut, manakala hanya 6,600 tempat sahaja yang boleh ditawarkan.
Beliau berkata kementerian masih mengekalkan dasar 70/30, iaitu 70 peratus tempat dikhususkan untuk murid sekolah luar bandar dan 30 peratus lagi untuk murid sekolah bandar.
Beliau berkata keutamaan akan turut diberikan kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK), di mana mereka akan dibantu dari segi bayaran persekolahan, bayaran makanan dan keperluan asrama.
"Melalui pendekatan ini muridmurid berpeluang untuk menikmati kemudahan pembelajaran yang sewajarnya supaya mereka dapat berusaha meningkatkan taraf hidup keluarga dan masyarakat, serta sesuai dengan konsep pendidikan untuk semua yang menjadi matlamat utama pendidikan negara," katanya.
Katanya menurut rekod, seramai 5,794 atau 17.6 peratus daripada 32,836 murid di SBP sehingga Oktober tahun ini telah diberikan bantuan untuk meneruskan pendidikan mereka dengan lebih sempurna.
Alimuddin berkata pengetua SBP juga telah diberikan kuasa autonomi bagi memilih 20 peratus murid untuk ditempatkan di sekolah masing-masing, dan mereka akan memberi pertimbangan berdasarkan kebitaraan (niche area) sekolah.
"Sebagai contoh sekiranya kebitaraan sekolah ialah bidang muzik, maka murid yang mempunyai kemahiran dan latar belakang muzik akan diberikan keutamaan untuk dipanggil temuduga serta menjalan proses-proses pemilihan oleh pihak sekolah," katanya. BERNAMA

Khamis, 26 November 2009

Ucapan!


SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA...


Pada semua muslimin dan muslimat,semoga semua diberikan-NYA keberkatan, kerahmatan, keampunan dan kebahagiaan pada hari yang mulia ini.

Renung dan hayati semangat disebalik hari perayaan ini agar ia memberi sinar dan dorongan untuk terus berkorban apa saja demi agama,bangsa dan negara.

Selamat Hari Raya Aidil Adha dari kami di AJK PIBG SKHK blogspot.com

Rabu, 25 November 2009

Horey!







Riang gembira bersama rakan rai hari terakhir persekolahan...
SESI persekolahan 2009, melabuhkan tirainya, pada 20 November, Jumaat lalu. Ini bermakna selama 44 hari murid-murid akan bersantai sama ada di kelas tuisyen, balik kampung tinggal bersama nenek dan atuk atau pergi bercuti bersama keluarga.
Apa yang pasti penggal pertama sesi persekolahan 2010, akan bermula pada 5 Januari, hari Isnin. Dan yang dinanti kedatangan murid baru Tahun 1 yang mendaftar sebagai warga SKHK seramai lebih kurang 148 orang memberi pengalaman pertama mereka terutama kepada ibu bapa yang pertama kali menghantar anak ke sekolah!
Kepada semua murid, selamat bercuti dan jadikan kesempatan berehat panjang, diisi dengan berbagai aktiviti sihat dan memberi kebaikan. Jumpa lagi tahun hadapan...

Selasa, 24 November 2009

Detik Manis!

Keterangan gambar: GURU BESAR Mohamad Alwan Ginen menyampaikan amanat dan turut mengucap tahniah kepada pelajar yang berjaya meraih 5A.
Keterangan gambar: WAJAH gembira menerima sumbangan dari guru besar.
Keterangan gambar: PELAJAR cemerlang tersenyum riang menerima sumbangan dari guru besar.
Keterangan gambar: GURU BESAR menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang.
Keterangan gambar: LAGI pelajar cemerlang menerima sumbangan dari guru besar.

Keterangan gambar: PELAJAR cemerlang menerima sumbangan dari guru besar.

Keterangan gambar: JADI KEBANGGAAN IBU: Anak kembar, Farhana dan Fariha Yazid berjaya meraih 5A bersama mereka, Puan Mubayyinah.
Keterangan gambar: EMPAT pelajar cemerlang yang merai 4A 1B.

Keterangan gambar: GURU BESAR Mohamad Alwan Ginen bersama guru penolong kanan bergambar ceria bersama tujuh pelajar cemerlang yang merai 5A dalam UPSR 2009, baru-baru ini.

Majlis Penyampaian pelajar Cemerlang UPSR 2009 & Sijil pelajar tahun 6
SELEPAS bertarung siang dan malam menghadapi peperiksaan demi peperiksaan, mengulangkaji pelajaran sejak Tahun 1 hingga Tahun 6, masa yang dijanjikan, tiba.
Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akhirnya diumumkan di hadapan 167 pelajar Tahun 6 yang disaksikan guru dan ibu bapa. Dewan Bisikan Kalbu, bergema dengan sorakan ceria dan tidak kurang yang lesu kekecewaan.
Seramai tujuh pelajar, dua lelaki, lima perempuan mengembalikan maruah Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK) apabila berjaya meraih 5A sementara empat pelajar, dua lelaki dan dua perempuan sekadar berjaya mendapat 4A 1B, namun cukup bermakna kepada guru dan ibu bapa yang mengetahui keputusan ini.
Guru besar SKHK, Mohamad Alwan Ginen, ketika mengumumkan pencapaian sekolah telah meningkat kepada 10 peratus berbanding tahun lalu, beliau melahirkan rasa syukur dengan kejayaan ini.
'Syukur, alhamdulillah, akhirnya SKHK kembali berada di landasan pencapaian yang diharapkan. Tahniah kepada pelajar yang berjaya memberi imej kebanggaan sekolah dan juga kepada guru yang bertungkus-lumus, mendidik anak-anak bangsa menjadi insan kebanggaan sekolah.
"Juga kepada ibu bapa yang menjadi tunjang sebalik tabir di atas kejayaan anak-anak mereka. Ini hari yang ditunggu-tunggu selama ini selain ia membalas jasa guru dan ibu bapa selama ini yang tidak jemu memberi nasihat serta dorongan semangat. Sikap inilah yang guru-guru harapkan," kata Mohamad Alwan, ketika menyampaikan sumbangan kepada sebelas pelajar cemerlang.
Di majlis yang sama, ibu pelajar cemerlang, Mubayyinah Ahmad Khailani, gembira apabila anak kembarnya, Farhana dan Fariha Yazid, berada dalam senarai tujuh pelajar menerima keputusan 5A sekaligus mengikut jejak kakak mereka yang kini melanjut pelajaran di Kaherah, Mesir.
Seluruh PIBG dan kru blog, mengucapkan tahniah kepada pelajar yang bakal memasuki asrama tahun hadapan, semoga terus menanam azam mencapai keputusan peperiksaan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dengan jayanya.
Begitu juga kepada guru, ibu bapa dan sesiapa sahaja yang memberi sokongan di atas kejayaan yang dirasai sekarang! Selamat maju jaya dan inilah detik ceria yang dirakamkan dari lensa penulis untuk tatapan semua pengunjung blog ini.

Selasa, 3 November 2009

Berita Minggu Ini!


PM: Sekolah satu aliran akan dilaksanakan dengan persetujuan rakyat

KERAJAAN akan mengambil kira pandangan rakyat sebelum membuat keputusan melaksanakan sekolah satu aliran bagi menjaga sensiviti kaum di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan hanya mengubah sesuatu dasar sekiranya dipersetujui rakyat dan jika sebaliknya, dasar sedia ada akan dikekalkan.
Beliau berkata perubahan kepada sistem satu aliran memerlukan anjakan besar daripada segi dasar dan ia juga menimbulkan persoalan sama ada masyarakat negara ini bersedia untuk menafikan hak memilih jenis pendidikan.
"Saya fikir perkara ini belum ada kata putus dalam masyarakat, ada yang fikir baik diadakan sekolah satu aliran malah ada yang fikir bahawa mereka nak juga hak untuk memilih.
"Jadi selagi kita (kerajaan) tidak putuskan mengenai perkara ini, saya tidak mahu berlaku perbalahan dalam masyarakat kerana soal pendidikan ini amat sensitif," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan Perdana Menteri bersama warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB di sini pada Sabtu.
Bernama melaporkan beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan beberapa anggota Parlimen yang mahukan kerajaan mewujudkan sekolah satu aliran selepas cadangan itu ditimbulkan oleh tokoh sejarah dan akademik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim minggu lepas.
Khoo dilaporkan berkata sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai kerana sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.
Najib berkata terdapat pelbagai pendapat dalam soal pendidikan.
"Soal pendidikan ini ada macam-macam pendapat. Kita sudah bermula dengan satu kedudukan di mana kita memberi setiap warga Malaysia, kumpulan etnik dan komuniti hak untuk memilih jenis pendidikan.
"Kita hanya akan mengubah dasar berdasarkan kepada kehendak masyarakat, kalau masyarakat bersedia untuk membuat perubahan kita akan ubah, selagi masyarakat tak bersedia kita akan kekalkan seperti mana sedia ada," katanya.
Najib berkata tidak ada gunanya kerajaan mengubah dasar kepada sekolah satu aliran sekiranya keputusan tersebut boleh menyebabkan perbalahan dan ketegangan dalam politik, masyarakat dan sosial kerana menurutnya sebarang keputusan kerajaan adalah untuk membawa perpaduan kepada semua.
"Kalau kita nak ubah dasar kepada sekolah satu aliran, tujuan kita hanyalah untuk perpaduan semua kaum. Kita tidak mahu keputusan itu menyebabkan perbalahan dan ketegangan. Tujuan kita untuk membawa perpaduan tetapi jika keputusan itu sendiri membawa ketegangan antara kaum, apa maknanya," katanya. BERNAMA

Khamis, 8 Oktober 2009

Berita Terkini!

Gurubesar SKHK: Mohamad Alwan Ginen
Projek Daftar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) SKHK
BUAT julung kalinya Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK) melancarkan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) bagi menyalurkan maklumat aktiviti sekolah terus ke talifon bimbit ibubapa/penjaga murid.
Sebelum ini medium asal menghebahkan aktiviti dibuat melalui surat, kertas hebahan selain laman sesawang dan juga emel. Dengan adanya Sistem Pesanan Ringkas (SMS) ini, yang berkuat-kuasa serta-merta, dapat mempercepat penyampaian maklumat kepada pihak yang menerimanya.
Antara kandungan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) ialah pemberitahuan mesyuarat PIBG dan lain-lain mesyuarat, maklumat peperiksaan/ujian bulanan dan penggal, sukan sekolah, hari katin, cuti sekolah/peristiwa dan cuti raya selain meminta ibu bapa mengambil rekod pelajar, aktiviti ko-kurikulum/badan beruniform. Juga turut dikirimkan SMS mengenai Hari anugerah Cemerlang dan lain-lain lagi. Namun kewujudkan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) adalah bagi mengatasi masalah seperti
*Surat sekolah yang diedarkan tidak sampai/lambat diterima di tangan ibubapa/penjaga murid.
*Ibubapa/penjaga yang bertugas ‘outstation’ tidak mendapat maklumat sekolah
*Anak-anak terlupa memberi kertas makluman sekolah kepada ibubapa dan lain-lain lagi.
Kejayan projek Sistem Pesanan Ringkas (SMS), akan menjadi realiti apabila ibubapa/penjaga murid, mendaftar talian talian talifon bimbit anda mulai sekarang.
Diharap dengan adanya Sistem Pesanan Ringkas (SMS), dapat membantu meningkatkan mutu penyampaian maklumat daripada pihak sekolah terus kepada ibubapa/penjaga murid tanpa masalah.
Apa yang penting ibu bapa/penjaga murid tahu aktiviti anak-anak anda di sekolah selain kos yang sangat murah lebih kurang tiga sen sehari!
Sila buat pendaftaran dan pembayaran sebelum atau pada 23 Oktober 2009. Sekiranya tuan/puan bertukar nombor telefon bimbit sila maklumkan dengan segera kepada pengendali perkhidmatan ini, Drift ICT Network dengan menghubungi Mohd Fadzail Baharuddin menerusi 019 3007424 atau SMS.
Bayaran RM5 sekeluarga melalui anak tuan/puan untuk mengaktifkan penghantaran Sistem Pesanan Ringkas (SMS) selama lima bulan. Sila SMS nama anak, tahun dan sekolah serta nombor telefon bimbit yang baru.
Jika tuan/puan ingin mendaftar dua talian telefon bimbit (suami-isteri), maka caj pendaftaran RM10 sahaja.











Ahad, 9 Ogos 2009

Pelajar boleh teruskan pembelajaran dalam BI




Pelajar yang memulakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris boleh terus berbuat demikian sehingga mereka menamatkan pendidikan sekolah menengah mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran berkata, isu itu turut dibangkitkan oleh rakannya dalam Kabinet dan beliau mahu memberi kelegaan kepada ibu bapa yang menyuarakan kebimbangan mengenainya.
"Kami membincangkan perkara itu," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja lima hari beliau ke Perth yang berakhir hari ini.
Muhyiddin berkata, pelajar yang mula belajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris akan terus diajar dalam bahasa itu, dan mempunyai pilihan dan kebebasan untuk menjawab soalan peperiksaan sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
"Mereka (ibu bapa) tidak perlu bimbang," katanya.
"Saya mahu memberi kelegaan kepada ibu bapa yang bimbang. Kami mengguna pakai pendekatan berlembut...memberi peluang untuk bergerak secara perlahanlahan ke dalam sistem baru," katanya.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan perubahan terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matermatik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan kembali kepada dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bagi sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing dari 2012.
Dasar PPSMI dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pelajar Tahun Satu, Tingkatan Satu dan Enam Rendah pada 2003, di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mengenai laporan akhbar hari ini bahawa Jabatan Pelajaran telah menarik balik kebenaran bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sri Hartamas untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membantah perubahan dasar itu dan untuk terus menggunakan bahasa Inggeris sebagai kaedah pengajaran bagi sains dan matematik, Muhyiddin berkata pegawai jabatan itu tidak sepatutnya berbuat demikian.
"Kami bersikap terbuka. Mereka (jabatan) tidak harus bersikap demikian, maafkan saya. Saya minta maaf. Saya fikir tidak adil (untuk menarik balik kebenaran itu)," katanya.
Muhyiddin berharap pegawai jabatan tidak berbuat demikian di masa depan.
Katanya dengan membantah perubahan dasar itu, itu merupakan salah satu cara menunjukkan kejayaan dasar itu, walaupun kerajaan terpaksa mengubahnya demi kepentingan majoriti pelajar di negara ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berpendapat sekolah satu aliran boleh jayakan 1Malaysia.
Katanya, pelaksanaan sekolah satu aliran dapat membantu menjayakan konsep 1Malaysia kerana ia boleh memupuk semangat perpaduan di kalangan pelajar.

Menurut anggota Parlimen Jerlun lagi, melalui konsep pendidikan itu, pelajar pelbagai kaum dapat bergaul dan berinteraksi dengan lebih berkesan.
"Ia mungkin boleh dijayakan dengan mewajibkan bahasa Mandarin dan Tamil contohnya sebagai mata pelajaran elektif, ini bermakna pelajar boleh belajar bahasa ibunda rakan-rakan mereka yang lain.
"Alangkah baiknya jika rakyat Malaysia boleh menguasai bahasa Melayu, bahasa Mandarin, bahasa Tamil serta mencapai matlamat 1Malaysia yang lebih harmoni dan saling memahami," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Wacana Perpaduan 1Malaysia di sini, Sabtu.
Beliau berkata bagi mengelak pelajar meninggalkan bahasa ibunda mereka, sekolah satu aliran itu perlu mewajibkan pelajar mengambil mata pelajaran bahasa ibunda masing-masing.
Beliau berkata sistem pendidikan itu dapat menyatupadukan semua kaum melalui perkongsian budaya dan adat resam serta dapat mengelak daripada berlakunya polarisasi kaum di negara ini.
Mukhriz berkata cadangan sekolah satu aliran itu pernah dimuatkan dalam Penyata Razak pada tahun 1956, iaitu setahun sebelum negara menyambut kemerdekaan.
"Allahyarham Tun Abdul Razak telah menyatakan ingin melihat sekolah satu aliran menjadi kenyataan. Namun selepas 52 tahun Merdeka ia belum terjadi," katanya.
Beliau berkata konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dicapai jika semua pihak berganding bahu menjayakannya. BERNAMA

Khamis, 6 Ogos 2009

Futsal Persahabatan PIBG























































































Salam sejahtera.
Malam Selasa, 3 Ogos 2009, bermula detik sejarak kepada AJK PIBG dengan guru SKHK yang bersatu mengadakan perlawanan futsal persahabatan.
AJK PIBG dan guru meluangkan masa berkumpul di padang futsal di Seksyen 2 Wangsa Maju bermula jam 9.00 malam.
Perlawanan yang berakhir jam 12.15 minit pagi, diceriakan dengan kehadiran guru besar SKHK, Mohammad Alwan Ginen yang turut menyampaikan hamper kepada pemenang. Turut memeriahkan suasana, kehadiran Timbalan Pengerusi PIBG, Sdr Ariffin Mansor.
Insya-Allah, perlawanan ulangan akan diadakan lagi pada Ahad, 9 Ogos 2009, di lokasi yang sama, tetapi bermula jam 8.00 malam.
Terima kasih kepada semua bapa dan guru yang terlibat terutama kepada Sdr Zohari dan anaknya, yang berganding bahu bermain bersama-sama selain ketangkasan penjaga pintu gawang Sdr Sudin (AJK PIBG), yang berjaya menepis serangan demi serangan dan tendagan kencang guru namun gagal menjaring gol.
Namun kesudahan permainan, sukar diingat berapa banyak jaringan sudah bolos ke dalam gawang masing-masing. Apa yang pasti sebaik wisel penamat berakhir, semua pemain, ceria walaupun kepenatan dalam perlawanan persahabatan tujuh sebelah!












Rabu, 5 Ogos 2009

Bangsa Membaca Bangsa Berjaya

IMBAS kembali. Bila penulis ini berada di sekolah rendah di Pasir Mas, Kelantan pada awal 1970-an, Bahasa Inggeris adalah sesuatu yang amat 'asing' sekali bagi beliau.
Ejaan dan sebutan perkataan bahasa ini amat ganjil dan sukar sekali bagi beliau, sehinggakan beliau hampir-hampir 'menjauhkan diri' daripada mempelajarinya.
Bagi penulis ketika itu, bahasa ini memang 'menyusahkan' hidupnya.
Tapi kata-kata Perdana Menteri Malaysia yang kedua AllahyarhamTun Abdul Razak Hussein, yang dikenali juga sebagai Bapa Pembangunan Malaysia, telah mengubah segalanya.
"Untuk membangun dan maju ke hadapan, kita perlu ilmu pengetahuan. Satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan ialah dengan membaca..." beliau dilaporkan berkata oleh media ketika itu.
Kata-kata itu merangsang penulis menghabiskan masa berjam-jam lamanya setiap waktu lepas sekolah di kutub khanah (perpustakaan) yang penuh dengan buku-buku dan karya Bahasa Inggeris.
Walaupun dengan pengetahuan yang boleh dikira sebagai kosong dalam bahasa asing ini, dengan berbekalkan sebuah kamus dwi-bahasa, penulis dengan secara merangkak-merangkak membaca karya-karya dalam Bahasa Inggeris yang ditulis karyawan terkenal seperti Enid Blyton, Somerset Maughan, Robert Louis Stevenson, Agatha Christie, Edgar Allan Poe dan Shakespeare.
Penulis juga mendapati dengan membaca novel serta karya yang mempunyai terjemahan dalam Bahasa Melayu/Inggeris, seperti Pending Permata (Red Winds), Buaya Mati Dua Kali (The Crocodile Dies Twice), Harimau Lembah Pahit (Tiger of Lembah Pahit), Gendang Kosong (Empty Drums), Don Kisot (Don Quixote) dan Hikayat Seribu Satu Malam (Arabian Nights) telah banyak membantu.
"Jika kamu faham tentang apa yang ditulis, kamu tentu dapat mempelajari (Bahasa Inggeris) dengan lebih cepat," seorang guru memberitahu penulis.
Itulah caranya penulis mempelajari Bahasa Inggeris, satu bahasa yang beliau anggap amat sukar untuk dipelajari satu masa dahulu.
Bagaimanapun, penulis tidak pernah meninggalkan, bahkan membaca berulang kali tanpa jemu, karya hebat dan klasik sasterawan Melayu seperti Rentung, Patah Sayap Terbang Jua, Tulang-tulang Berserakan, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Merantau Ke Deli, Di Bawah Lembayung Kaabah, Tenggelamnya Kapal van Der Wick, Atheis dan banyak lagi.
Minggu lepas, penulis berkunjung ke Kompleks PKNS, Shah Alam kerana satu urusan. Beliau agak hairan melihat ramai pengunjung berkumpul lobi kompleks itu..
"Ada apa (yang berlaku) ?" Tanya beliau kepada seorang pengunjung wanita.
"Awak tak tahu ke bulan ini (Julai) ialah Bulan Membaca", jawab wanita itu, seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Evelynn.
"Awak tak perasan iklan dalam televisyen setiap malam? katanya lagi, membuatkan penulis tersipu malu.
Sebenarnya kompleks itu menganjurkan 'Pesta Buku Negeri Selangor'. Pesta buku itu ialah dari 24 Julai hingga 3 Ogos, 10 pagi-9 malam.
Kempen membaca dilancar secara rasmi pada 1995 semasa Perayaan Bulan Membaca Kebangsaan. Temanya ialah "Mari Membaca Bersama".
Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, kini Perdana Menteri Malaysia, melancarkan kempen itu pada tahun yang sama iaitu pada 31 Julai.
Kempen itu dijalankan di seluruh negara pada setiap bulan Ogos sehingga tahun 2000.
Pada tahun 2001, semasa majlis yang dirasmikan Datin Seri (Tun) Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kerajaan mengumumkan bulan Julai sebagai Bulan Membaca Kebangsaan, menggantikan bulan Ogos.
Mulai tahun 2001 sehingga kini, kempen ini dijalankan setiap bulan Julai dan dijadikan agenda tahunan kerajaan ke arah membentuk masyarakat yang mempunyai ilmu dan maklumat dengan menjadikan membaca sebagai satu budaya.
Bekas pendidik Fatimah Mansur berkata langkah kerajaan menjadikan Kempen Bulan Membaca ialah satu usaha yang amat bijak.
"Lihatlah di sekeliling kita, di mana saja kelihatan orang membaca sama ada surat khabar atau majalah serta buku ataupun membaca blog dan bahan lain dalam Internet," kata beliau.
Satu pandangan yang sememangnya tepat sekali.
Dalam kunjungan penulis ke sebuah kedai buku mega di Bandar Utama, Petaling Jaya, beliau mendapati begitu ramai orang dewasa serta kanak-kanak dan ibu bapa sedang membaca buku dan majalah yang terdapat di situ.
Tak kurang juga yang sedang beratur untuk membayar bahan bacaan yang dibeli.
Di seluruh negara, pelbagai pertubuhan termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), perpustakaan awam dan swasta serta juga sekolah, kolej dan universiti mengadakan kempen membaca masing-masing sempena sambutan Bulan Membaca Kebangsaan.
"Di mata umum, Kempen Membaca ini berjaya," kata Fatimah.
Menurut pandangan beberapa orang ahli akademik di sebuah universiti di sini, kempen itu memang boleh dianggap berjaya.
"Ia berjaya menarik penyertaan orang ramai dalam pelbagai program di samping menyemai kesedaran membaca sepanjang hayat.
"Kempen ini juga menggalakkan aktiviti membaca sebagai satu budaya," kata seorang pensyarah.
Fatimah menambah, kempen itu meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya membaca sebagai kunci pengetahuan dan ilmu tanpa sempadan.
"Kempen ini boleh menyemarakkan minat dan tabiat membaca sebagai gaya hidup rakyat Malaysia kini dan di masa hadapan. Ia juga menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti yang bersangkut-paut dengan membaca dan aktiviti akademik," menurut pengurus dalam industri hiburan Abdul Rahim Abdul Hamid dari Bandar Tasik Puteri, Rawang.
Bagi mahasiswa universiti, Muhamad Zul Azraii, kempen itu telah merapatkan jurang antara masyarakat dan bahan bacaan selain daripada memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan orang ramai.
Penjawat awam dan ibu kepada tiga orang anak, Zaida Zainal berkata: "Kempen Membaca telah membina satu masyarakat yang berilmu, yang berupaya untuk berfikir dan bertindak secara kreatif, kritikal dan konstruktif melalui pembacaan.
"Tiada apa yang merugikan dengan membaca, malah aktiviti ini memang menguntungkan sekali," katanya. - (Oleh ZULKIPLE IBRAHIM) BERNAMA