Khamis, 31 Disember 2009

Isu Yuran Sekolah & Bayaran Tambahan


Bayaran tambahan tidak membebankan

KUALA LUMPUR - Bayaran tambahan persekolahan yang akan diseragamkan Kementerian Pelajaran bermula tahun depan tidak membebankan, malah lebih rendah berbanding tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom (gambar) berkata, bayaran tambahan tidak harus disalahertikan dengan pembayaran lain yang bergantung kepada persetujuan antara pihak sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

"Bayaran tambahan yang diseragamkan merangkumi aktiviti kokurikulum, kertas ujian dalaman, sukan tahunan sekolah, kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Insurans Takaful.

"Pembayaran lain seperti majalah sekolah, program kelas komputer dan tuisyen adalah bergantung kepada persetujuan antara pihak sekolah dan PIBG," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kekeliruan yang timbul berikutan kadar pembayaran tambahan yang diseragamkan untuk pelaksanaan sesi persekolahan 2010.

Kelmarin, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, kementerian tidak menetapkan harga siling bayaran tambahan yang boleh dikutip daripada ibu bapa oleh PIBG sekolah-sekolah.

Dalam perkembangan berkaitan, Alimuddin berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menetapkan harga siling bagi pembayaran lain yang boleh dikutip PIBG, sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada pihak sekolah.

"Sekolah di Kuala Lumpur tidak sama dengan sekolah di kawasan pedalaman Sabah.

"Mungkin wang RM10 di luar bandar nilainya tinggi tetapi di Kuala Lumpur, ia hanya sekadar harga sekotak rokok," katanya.

Walaupun begitu, katanya, bagi mengelakkan kutipan wang yang terlalu tinggi, PIBG sekolah harus berhubung dengan Jabatan Pengarah Pelajaran Negeri terlebih dahulu untuk mendapatkan kelulusan.

Yuran sekolah boleh dijelaskan sehingga akhir tahun

KUALA LUMPUR - Ibu bapa dibenarkan menjelaskan yuran sekolah dan bayaran tambahan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bermula sesi persekolahan depan sehingga akhir 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, bayaran secara ansuran itu diharap meringankan beban ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah serta mereka yang mempunyai ramai anak sedang bersekolah.

Tahun lalu jelasnya, ibu bapa serta penjaga diminta menjelaskan kesemua yuran persekolahan murid-murid pada bulan Jun.

''Dengan penambahan masa dan pembayaran secara berperingkat, Kementerian Pelajaran berharap ia dapat meringankan beban ibu bapa serta penjaga.

''Cuma saya harap, ibu bapa tidak terlalu berkira mengenai persekolahan anak-anak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kementerian sebelum ini menetapkan yuran sekolah rendah pada kadar RM24.50 dan RM33.50 bagi sekolah menengah.

Ia merangkumi bayaran untuk kurikulum, kertas ujian dalaman, sukan tahunan, kegiatan Pendidikan Islam serta Moral, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan insurans Takaful.

Pada 2 Disember lalu pula, kementerian mengumumkan akan mengenakan bayaran tambahan kepada ibu bapa bermula sesi persekolahan depan bagi manfaat para pelajar.

Alimuddin menjelaskan, ibu bapa dibenar membuat pembayaran sehingga akhir tahun depan kerana tidak semua aktiviti pelajar berlangsung pada awal atau pertengahan tahun.

''Arahan ini telah disampaikan kepada semua Pengarah Pelajaran Negeri. Saya harap semua sekolah maklum dan tidak ada (sekolah) yang mengasak ibu bapa untuk menjelaskannya segera,'' tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan