Khamis, 10 Disember 2009

Al Fatihah



Keterangan gambar: Allahyarham bertukar pandangan sambil mendengar cadangan dari bapa murid Tahun 2, semasa majlis Mesra Pelanggan, Penggal Kedua, Ogos lalu.

Warga Pendidik SKHK kehilangan Guru Berpengalaman

SALAM TAKZIAH kepada keluarga guru Penolong Kanan Sekolah Petang, Abd Wahid Bin Mohd Yusof, yang kembali ke rahmatullah, jam 3 pagi tanggal 10 Disember 2009.

Pemergian guru Penolong Kanan Sekolah Petang, Abd Wahid Bin Mohd Yusof, mengejutkan ramai warga guru, AJK PIBG dan ibu bapa.
Menurut ahli keluarga Allahyarham, sebelum menghembuskan nafas disisi isteri dan anak-anak, beliau mengadu badan panas.
Allahyarham Abd Wahid Bin Mohd Yusof, mula berkhidmat sebagai seorang tentera sebelum menyertai dunia perguruan, hampir 20 tahun lamanya. Allahryarham pernah mencurah bakti di beberapa sekolah di Selangor. Antaranya, Sekolah Kebangsaan Sungai Pusu, Sekolah Kebangsaan Melawati dan terakhir di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang, Ampang, Selangor.
Sebagai guru Penolong Kanan Sekolah Petang, Abd Wahid Bin Mohd Yusof, di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang, Allahyarham hanya sempat mencurah bakti selama tujuh tahun, bermula pada 2002. Disayangi murid-murid Tahun 2, sekalipun tegas, Allahyarham banyak memberi nasihat dari menghukum, mengajar subjek Pendidikan Kesihatan dan Seni Lukis, dikenali seorang yang berjiwa nasionalisma. AJK PIBG, warga pendidik dan murid sekolah yang baru mengenali Allahyarham, menyifatkan kehilangan Allahyarham amat dirasai dan menyentuh sanubari. Allahyarham juga amat disenangi kerana sikap rendah diri serta mempunyai gagasan minda dan luas pengalaman dalam mendidik selama bergelar cikgu. Semoga roh Allahyarham yang dikebumikan di tanah kelahirannya, di Masjid Tanah, Melaka, dicucuri rahmatNya dan disemadikan di sisi orang-orang yang solehin. Al Fatihah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan