Sabtu, 2 Jun 2012

INOVATIF GURU SKHK DIIKTIRAF WAKILI SELANGOR

SHAH ALAM, SELANGOR: Sambutan Hari Guru peringkat Negeri Selangorn 2012, yang diadakan di Shah Alam Community Centre (SACC Mall), baru-baru ini meninggalkan kenangan manis kepada tiga guru Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK). Ini kerana penyertaan mereka menghasilkan alat bantu belajar untuk mahir dalam kelas pemulihan atau KEJAD (Keretapi Abjad), diiktiraf dan memenuhi kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Kejayaan ini membolehkan SKHK menerima Anugerah Guru Inovatif peringkat Negeri Selangor 2012 sekaligus mengangkat nama sekolah buat julung kalinya dalam menyertai program ini. Disebalik tabir tiga guru yang terbabit dengan program menghasilkan alat bantu belajar atau KEJAD ini, Rusalina Mohd Yusof, Mohd Lotfi Aamir dan Norfadilah Isa, masing-masing melahirkan perasaan bersyukur dan teruja dengan pengiktirafan dari KPM itu. Malah mereka tidak menjangka akan meraih kejayaan ini, memandangkan banyak penyertaan dari sekolah-sekolah rendah di seluruh Negeri Selangor. “Kami amat bersyukur dengan kejayaan ini. Memang kami tidak menjangka penyertaan julung kali ini mendapat pengiktirafan. “Selain itu kami berbangga kerana mendapat sokongan daripada semua guru terutamanya sokongan moral guru besar, Mohamad Alwan Ginen (kini berpindah ke SK Taman Melawati 2 Hulu Kelang),” kata Mohd Lofti Aamir, yang kini mengajar di kelas pemulihan. Tambah Mohd Lofti Aamir lagi, kemenangan ini memboleh mereka bertanding ke peringkat kebangsaan pada tahun hadapan. Majlis penyampaian hadiah berupa plak dan sijil disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Fuad Zakarsi. - Oleh ZAINI ZAA hellobolly@yahoo.com

Gurubesar SK Hulu Kelang Berpindah Sekolah

7 tahun sumbang bakti …Alwan Ginen akhiri jasa sebagai guru besar di SK Hulu Kelang Teks, foto ZAINI ZAA hellobolly@yahoo.com HULU KELANG, Selangor: Sambutan Hari Guru Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK) 2012 turut meraikan perpisahan guru besar SKHK Mohamad Alwan Ginen yang berpindah sekolah ke SK Taman Melawati 2, pada 16 Mei lalu. Beliau yang menabur bakti selama tujuh tahun, turut diberi penghormatan memotong riben bagi merasmikan Dataran Pakir Kereta SKHK yang mampu memuatkan 20 kereta guru dan ibu bapa murid. Perpindahan Mohammad Alwan ini yang dianggap kehilangan besar kepada kemajuan sekolah yang disifatkan oleh kalangan guru-guru, Mohammad Alwan seorang tokoh guru dan bapa kepada kecemerlangan sekolah. “Terima kasih atas berbagai ucapan yang kadang kala syahdu. Kerjasama kalian sepanjang kepimpinan saya di skhk akan tersemat di hati sampai bila-bila,” ujar Mohammad Alwan. Serentak dengan sambutan Hari Guru SKHK, turut menjadi medan tumpahnya air mata para guru yang mendoakan guru besar paling sporting ini agar berjaya di tempat barunya. Tempat Mohammad Alwan digantikan oleh guru besar Encik Khamis Mohd Nor yang memulakan tugasan pada 17 Mei lalu. Selamat Hari Guru dan selamat datang kepada guru besar Encik Khamis semoga kedatangan cikgu membawa 1001 kejayaan kepada sekolah yang sudah berusia 128 tahun ini.

Kempori Gombak Temukan 1056 Pengakap

1,056 PENGAKAP MERIAHKAN KEMPORI 2012 …perkhemahan pengakap 57 sekolah rendah, menengah daerah Gombak Teks, foto: ZAINI ZAA hellobolly@yahoo.com RAWANG, Selangor: Selama empat hari, tiga malam seramai 1,056 murid dari 33 sekolah kebangsaan dan 24 sekolah menengah daerah Gombak, berhimpun dalam perkhemahan pengakap yang pertama pada 2012 baru-baru ini. Program yang dikenali sebagai Kempori Gombak 2012 ini, adalah istilah yang biasa digunakan dalam perkhemahan pengakap sejak dulu hingga sekarang. Ia menjadi pemangkin dalam aktiviti tahunan pengakap yang juga disebut Korobori ataupun di peringkat kebangsaan dikenali sebagai Jambori. Pada awal pendaftaran lebih kurang 800 pengakap mendaftar menghadiri program ini namun disaat-saat akhir penyertaan, beberapa sekolah menghantar wakil masing-masing. Sekaligus menambah kemeriahan program yang diadakan di Taman Rimba Templer, Rawang, Selangor, yang dianjurkan Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Gombak dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Gombak. Istimewanya Kembori Gombak ini memberi peluang, khasnya kepada ahli pengakap baru, pendedahan dalam pergaulan, menimba pengalaman berkhemah dalam suasana yang besar dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang kempori ini diadakan. Di samping itu ia menjadi platform meningkatkan daya tahan mental dan fizikal ahli-ahli pengakap. Antara sekolah menengah kebangsaan yang terbabit ialah SMK Lembah Keramat, SMK Darul Ehsan, SMK Hillcrest, SMK Bukit Indah dan sebagainya manakala sekolah kebangsaan (SK) yang turut serta ialah SK Hulu Kelang, SK Seri Kundang, SK Bandar Baru Sungai Buloh, SJK (T) Batu Arang, SJK © Kheow Bin dan sebagainya. Pelbagai aktiviti disediakan, antaranya painball, komunikasi radio, memanjat tali, berbasikal, rentas halangan, ilmu pengakap, memanah dan sebagainya yang dipimpin Komandan Kem, Rosdi Musa. Majlis ini yang dirasmikan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Selangor, Haji Ishak Mohd Jonid, turut dihadiri Abdul Shukur Haji Idris, Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Gombak, Ibrahim Yaacob, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Gombak, Mohamad Alwan Ginen, Pengerusi Pengakap Sekolah Rendah (guru besar SK Hulu Kelang), PPD Gombak, Datuk Haji Samah Bachik, Naib Pengerusi Majlis Pengakap Gombak, Arulnathan a/l Visurasam, Bendahari Kehormat Majlis Pengakap Daerah Gombak dan pengetua serta guru besar sekolah. Turut serta Pasukan Kelana Daerah Gombak yang diketuai oleh ADC Kelana, Hairul Azhar Said.