Isnin, 16 Mac 2009

Info & Sejarah SKHK

Warga pendidik, pelajar rai SKHK ke-126 tahun
Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK) telah banyak mengalami siri peristiwa dalam dekad yang telah berlalu. Kenangan pahit dan manis yang diukir di sekolah ini tidak dapat dilupakan.
Bahang Perang Dunia Ke-2, Penjajahan British di Tanah Melayu dan peristiwa pahit 13 Mei telah sedikit sebanyak meninggalkan kesan terhadap sekolah ini yang kini terpahat di lipatan sejarah.
Pembangunan dan kemajuan negara telah menarik bersama perubahan sekolah ini. Sekolah yang dahulunya berdinding tanah liat dan beratap rumbia kini telah jauh berbeza.
Jumlah pelajar sewaktu ditubuhkan iaitu pada 1910, hanya seramai 15 murid yang belajar di sekolah ini yang dipimpin oleh guru besar pertama bernama Encik Mohamed Said dan kini pada 2009, Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang dipimpin oleh Encik Mohamad Alwan Bin Ginen, sebagai guru besar yang ke-18, bertanggung jawab membimbing dan melahirkan lebih 800 orang murid yang sedang belajar di SKHK menjadi warga yang berbudi.
Selain itu, sekolah ini lebih terkenal dengan panggilan Sekolah P.Ramlee disebabkan telah digunakan untuk penggambaran filem Masam Masam Manis. Dalam cerita tersebut Seniman Negara Tan Sri P.Ramlee berlakon sebagai Cikgu Shaari dan mengajar di sekolah ini. Akhirnya beliau dilantik sebagai Guru Besar Sekolah Rendah Ulu Klang. (Nama sekolah ini dulunya adalah SR Ulu Klang).
Latar belakang bangunan asal Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang dahulunya merupakan bangunan kedai yang dibina pada tahun 1883. Bangunan tersebut mula dijadikan sekolah pada tahun 1910 di mana ia hanya menumpang di bangunan kedai berkenaan.
Sekolah ini telah dinaikkan taraf iaitu daripada gred C kepada gred A. Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang ditubuhkan bagi menampung keperluan pendidikan bagi penduduk setempat ekoran daripada pertambahan penduduk yang semakin pesat.
Pada tahun 1913 pembinaan bangunan pertama telah didirikan iaitu bangunan yang diperbuat daripada kayu-kayu bulat yang beratapkan nipah dan lantainya yang tidak bersimen.
Pada tahun 1938 pula bangunan tersebut telah diubahsuai daripada setingkat menjadi 2 tingkat. Walau bagaimanapun ia masih dalam bentuk yang sama iaitu bangunan yang diperbuat daripada kayu.
Sekolah tersebut mula mendapat bekalan air paip dan elektrik pada tahun 1964 dan ia merupakan infrastruktur yang pertama bagi sekolah tersebut. Manakala pada tahun 1974, bangunan batu 2 tingkat mula dibina berhampiran dengan bangunan lama dan ia mengandungi 4 bilik darjah, pejabat, tandas, kantin dan rumah guru besar.
Pada tahun 1981 pula bangunan kayu yang mempunyai 2 bilik darjah turut didirikan. Sekolah tersebut kemudiannya memperolehi sebuah lagi bangunan baru 2 tingkat yang mengandungi 8 bilik darjah iaitu pada tahun 1987.
Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang keseluruhannya mempunyai 4 buah bangunan yang mana ia mengandungi 14 bilik darjah bagi menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah dan memberi keselesaan kepada mereka.
Selain itu, sebuah padang permainan yang cukup luas di kawasan sekolah juga turut disediakan bagi kemudahan pendidikan jasmani. Perkembangan Sekolah Di awal penubuhannya pada tahun 1910 hanya terdapat satu kelas yang dibuka dan hanya seorang guru sahaja yang mengajar untuk pelbagai matapelajaran.
Manakala murid yang belajar di sekolah tersebut pada masa itu adalah seramai 15 orang. Pada tahun 1979 pula berlakunya pertambahan murid dengan pesat akibat daripada pembangunan di kawasan Hulu Kelang.
Menurut Ustazah Habsah pada tahun 1966 jumlah murid di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang adalah seramai 184 orang yang mana ia terdiri daripada murid darjah satu hingga darjah enam.
Manakala bilangan guru yang bertugas pada masa itu adalah seramai 8 orang. Guru yang bertugas pada masa itu termasuklah guru agama dan juga guru Bahasa Inggeris. Pada tahun 1982, bilangan murid-murid di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang telah bertambah 2 kali ganda daripada 350 orang kepada 700 orang murid.
Dianggarkan lebih kurang 1,000 orang murid yang belajar di sekolah tersebut pada masa itu. Dalam masa yang sama, Jabatan Pendidikan telah memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1986 dan sekolah ini telah terpilih sebagai sekolah percubaan bagi program tersebut.
Lain-lain peristiwa Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang pada awalnya mempunyai Ahli Lembaga Pengurus bagi membantu sekolah tersebut menjalankan aktiviti-aktivitinya. Pada tahun 1970-an peranan Lembaga Pengurus telah diambil alih oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Selain daripada nama asalnya Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang, ia juga dikenali sebagai Sekolah P.Ramlee. Ini kerana sekolah tersebut pernah menjadi lokasi penggambaran filem "Masam-Masam Manis" yang mana Allahyarham P.Ramlee sendiri turut berlakon sebagai seorang guru. Penggambaran filem tersebut telah dibuat sekitar tahun 1965.
Kehebatan sekolah ini ialah kerana telah berjaya menyambut ulang tahun ke 100 pada 30 Mac 1997. Dan kini warga pendidik dan pelajar SKHK meraikan usia SKHK yang ke-126 tahun pada Mac ini sekaligus mencatatkan SKHK sebagai sekolah tertua di Daerah Gombak, Selangor.
Tahniah dan semoga SKHK bakal mengalami tranformasi termasuk saranan AJK PIBG yang berpendapat agar sekolah ini perlu di beri nafas baru, nama baru yang sesuai dengan gelaran popular di kalangan masyarakat sebagai Sekolah P.Ramlee, suatu hari kelak, Insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan