Rabu, 15 Jun 2011

LAWATAN GURU PSS SK SERI BIRAM PEKAN, PAHANG BAKAL ERAT HUBUNGAN, JALIN PERSAHABATAN

TANGGAL 15 Jun 2011, Rabu lalu menjadi detik bersejarah kepada hubungan dua hala antara guru-guru SK Hulu Kelang (SKHK), Ampang, Selangor apabila guru-guru Pusat Sumber Sekolah (PSS) SK Seri Biram (SKSB), Pekan, Pahang mengadakan kunjungan julung kali ke SKHK.

SKSB, sebuah sekolah yang mempunyai reputasi yang menjadi kebanggaan kepada warga Pekan, Pahang hasil diterajui oleh Encik Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai guru besar sekolah yang pernah menerima Anugerah sekolah Harapan Negara bagi kategori Sekolah Rendah Dalam Bandar pada 1997.

Kunjungan yang diketuai guru cemerlang yang juga penyelaras PSS Puan Norafizah Abd Razak berserta empat guru dan 37 murid, membawa makna yang besar kepada SKHK.

Inilah antara sebahagian komitmen tinggi seluruh warga sekolah ini sebagai punca membawa kejayaan paling berprestij dalam pendidikan kepada sekolah ini sekaligus mendorong SKSB diisytiharkan sebagai Johan Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan peringkat kebangsaan pada tahun 1998.

Menyingkap sejarah penubuhan SKSB yang terletak di Jalan Engku Muda Mansor, Pekan, Pahang, ia mula didirikan pada tahun 1898 dengan nama Sekolah Melayu Pekan.

Sekolah ini berlantaikan kayu dan beratapkan nipah. Pada awal penubuhan sekolah ini tidak mempunyai Guru Besar. Hanya pada tahun 1900, Guru Besar pertama telah dilantik iaitu Encik Embong bin Abd. Rahman.

Pada tahun 1935 sebuah sekolah baru yang lebih selesa telah dibina dan diberi nama Sekolah Melayu Laki-laki. Semua murid laki-laki dari sekolah pertama dipindahkan ke sini manakala sekolah pertama tadi hanya dijadikan sekolah perempuan sahaja.

Pada tahun 1941 sekolah ini ditutup (perang Dunia ke 2) tetapi dibuka semula pada tahun 1945 atas nama Sekolah Umum Pekan.

Sekolah ini ditukar menjadi Sekolah Kebangsaan Seri Biram dan mula dilengkapi dengan pelbagai kemudahan setanding dengan sekolah-sekolah lain.

Sebuah surau berjaya didirikan hasil usaha guru dan PIBG. Penubuhan sebuah bangunan baru 6 bilik darjah pada tahun 1994 adalah bagi menampung pertambahan pelajar.

Dalam perkembangannya, sekolah ini telah mengalami beberapa pertukaran Guru Besar. Pada tahun 1995, seorang Guru Besar perempuan telah ditukarkan ke sekolah ini.

Beliau ialah Puan Hajah Naemah bte Haji Ali. Sejak penubuhannya, sekolah ini telah ditadbir oleh 27 orang Guru Besar (26 lelaki dan seorang perempuan).

Nama Seri Biram mengambil sempena nama salah sebuah istana Sultan Pahang, iaitu Istana Kota Biram Pekan. Istana ini telah diambil alih oleh kerajaan Pahang untuk dijadikan Muzium Pahang dengan nama Muzium Sultan Abu Bakar.

Asal usul perkataan 'Biram' ini adalah daripada perangai seekor gajah kenaikan DiRaja Pahang yang tiba-tiba naik 'berang' atau naik angin atau naik minyak kerana gangguan 'fizikal' dan mungkin 'mental' atau kehendak nalurinya. Daripada perkataan 'Berang' inilah kemudiannya bertukar menjadi 'Biram'.

Sementara itu Guru Besar SKHK, Encik Mohamad Alwan Ginen, mengalu-alukan kehadiran para guru PSS dari SKSB sekaligus mengeratkan hubungan sekolah dari dua negeri berjiran ini.

“Kami harap kunjungan ini memberi impak kepada masa depan sekolah yang lebih cerah pada masa hadapan,” kata Mohamad Alwan.

Beliau yang berbangga dengan kunjungan para guru dari SKSB berharap peristiwa ini akan menjadi titik tolak kepada hubungan yang lebih besar pada masa akan dating.

“Insya-Allah kami akan mengadakan lawatan balas pada masa akan datang. Kami juga bersyukur kerana SKSB memilih SKHK sebagai rakan sekolah.

“Kami yakin kunjungan ini membawa natijah yang baik dan dapat membantu menyuntik semangat bagi mencapai kejayaan murud-murid UPSR SKHK pada tahun ini,” tambah beliau lagi.

Sementara itu Penyelaras PSS SKSB, Puan Nor hafizah berkata pemilihan SKHK sebagai lokasi kunjungan mereka kerana ia sebahagian program jaringan sekolah selain SKHK mempunyai bangunan warisan yang sudah berusia 127 tahun.

“Kunjungan ini memang istimewa kerana ada beberapa persamaan di antara SKHK dan SKSB. Antaranya jumlah pelajarnya serta mempunyai nilai asset bangunan yang berusia 127 tahun.

“Kami gembira dapat bertemu dengan guru-guru dan murid di SKHK. Kami harap pertemuan ini akan mengerat hubungan silaturahim dan menjadi kenangan manis kepada warga SKSB,” kata Nor Hafizah gembira kerana dapat melawat bangunan kuning yang pernah menjadi lokasi filem Masam Masam Manis, lakonan Allahyarham Seniman Agung Tan Sri P Ramlee.

Turut meraikan kunjungan para guru dan murid dari SKSB ialah Puan Satinah Kartho(Hal Ehwal Pelajar), Puan Lily (ko-kurikulum), guru PSS cikgu Nuranis, guru kaunselor Cikgu Ridhuan Ariffin dan guru pengiring, Cikgu Amir serta Timbalan Yang Dipertua PIBG, Zaini Zaa sebagai wakil PIBG.





































Selasa, 14 Jun 2011

Sambutan Hari Guru SKHK 2011 meriah

Sambutan Hari Guru SKHK 2011 meriah

TANGGAL 16 Mei lalu seluruh warga guru SKHK berhimpun menjayakan sambutan Hari Guru 2011 yang dirai setiap tahun di seluruh Negara.

Bertemakan Guru Penjana Tranformasi Pendidikan Negara, dipenuhi dengan aktiviti seperti bola pantai, penyampaian anugerah guru cemerlang, persembahan drama sebabak guru dan murid, memotong kek, menyanyi lagu sekolah dan sebagainya.

Dalam amanat guru besar, Encik Mohamad Alwan Ginen, meminta para guru terus tekun memberi komitmen yang tinggi dan tanpa jemu mendidik anak-anak bangsa menjadi pewaris masyarakat berilmu.

“Teruskan usaha yang gigih mencapai kecemerlangan mutu pendidikan di sekolah ini agar menjadi kebanggaan ibu bapa murid-murid dan masyarakat umum,” katanya yang berharap pencapaian UPSR pada tahun ini dapat ditempa dengan kejayaan membanggakan.

Semua murid dari kelas pra-sekolah hingga Tahun 6, gembira dapat menyambut hari guru dengan menghadiahkan pelbagai cenderahati kepada guru kelas masing-masing.

Turut memeriahkan sambutan Hari Guru SKHK 2011 ialah Yang Dipetua PIBG SKHK, Abdul Razak dan semua AJK PIBG SKHK yang diiringi pasukan kompang diketuai guru kauselor Cikgu Radzuan Ariffin memasuki dewan sekolah.

Selamat Hari Guru 2011 semoga terus tegar memberi tunjuk ajar dan mencurah ilmu kepada anak murid sebagai persediaan menghadapi masa depan yang penuh mencabar!


































Program Permaufakatan PIBG Daerah Gombak Ke Arah Kecemerlangan Akademik

TANGGAL 3 Mei lalu, berlangsung majlis Permaufakatan PIBG Daerah Gombak Ke Arah Kecemerlangan Akademik yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak, Selangor.

Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran II Dr Haji Puad Zakarshi, turut dihadiri ramai AJK PIBG dari SMK dan SK sekitar Gombak, Selangor tekun mendengar ucapan alu-aluan daripada Yang Dipertuan PIBG SKM Sungai Pusu, Selangor, Haji Mohd Asri Mohd Nasir.

Sementara itu Dr Puad dalam ucapannya, meminta PIBG sekolah lebih berdikari dalam menjayakan pelbagai aktiviti melibatkan ibu bapa.

Beliau yang juga menekankan komitmen yang lebih mantap antara guru dan ibu bapa bagi mencapai matlamat menjadi PIBG yang disegani.

PIBG SK Hulu Kelang yang diwakili Yang Dipertuanya, Abdul Razak Hussin, Puan Satinah Kartho (Hal Ehwal Pelajar), guru kaunselor Radzuan Ariffin dan AJK PIBG lain menyifatkan majlis ini dapat mengeratkan hubungan antara Kementerian Pelajaran dengan PIBG.

“Bagaimanapun program ini masih terdapat kekurangannya kerana ramai yang berharap ia menjadi kesempatan AJK PIBG bersoal jawab.

“Namun ramai yang hampa kerana ia tidak berlaku sebagaimana yang diharapkan. Pun begitu di harap pada masa akan datang pihak Kementerian meluangkan masanya menghadiri program seumpama ini,” kata Abdul Razak yang memuji program anjuran PIBG & SMK Sungai Pusu ini.

Turut hadir di dalam majlis yang diadakan di Dewan Mutiara Bistari, SMK Sungai Pusu ialah Pengarah Pelajaran Negeri Selangor, Tuan Sulaiman Wak, pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Gombak, Puan Dayang Fatimah, Pengetua SMK Sungai Pusu, Hajah Muslimah Haji Tahir dan ketua serta pemimpin masyarakat setempat.