Sabtu, 2 Jun 2012

Kempori Gombak Temukan 1056 Pengakap

1,056 PENGAKAP MERIAHKAN KEMPORI 2012 …perkhemahan pengakap 57 sekolah rendah, menengah daerah Gombak Teks, foto: ZAINI ZAA hellobolly@yahoo.com RAWANG, Selangor: Selama empat hari, tiga malam seramai 1,056 murid dari 33 sekolah kebangsaan dan 24 sekolah menengah daerah Gombak, berhimpun dalam perkhemahan pengakap yang pertama pada 2012 baru-baru ini. Program yang dikenali sebagai Kempori Gombak 2012 ini, adalah istilah yang biasa digunakan dalam perkhemahan pengakap sejak dulu hingga sekarang. Ia menjadi pemangkin dalam aktiviti tahunan pengakap yang juga disebut Korobori ataupun di peringkat kebangsaan dikenali sebagai Jambori. Pada awal pendaftaran lebih kurang 800 pengakap mendaftar menghadiri program ini namun disaat-saat akhir penyertaan, beberapa sekolah menghantar wakil masing-masing. Sekaligus menambah kemeriahan program yang diadakan di Taman Rimba Templer, Rawang, Selangor, yang dianjurkan Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Gombak dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Gombak. Istimewanya Kembori Gombak ini memberi peluang, khasnya kepada ahli pengakap baru, pendedahan dalam pergaulan, menimba pengalaman berkhemah dalam suasana yang besar dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang kempori ini diadakan. Di samping itu ia menjadi platform meningkatkan daya tahan mental dan fizikal ahli-ahli pengakap. Antara sekolah menengah kebangsaan yang terbabit ialah SMK Lembah Keramat, SMK Darul Ehsan, SMK Hillcrest, SMK Bukit Indah dan sebagainya manakala sekolah kebangsaan (SK) yang turut serta ialah SK Hulu Kelang, SK Seri Kundang, SK Bandar Baru Sungai Buloh, SJK (T) Batu Arang, SJK © Kheow Bin dan sebagainya. Pelbagai aktiviti disediakan, antaranya painball, komunikasi radio, memanjat tali, berbasikal, rentas halangan, ilmu pengakap, memanah dan sebagainya yang dipimpin Komandan Kem, Rosdi Musa. Majlis ini yang dirasmikan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Selangor, Haji Ishak Mohd Jonid, turut dihadiri Abdul Shukur Haji Idris, Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Gombak, Ibrahim Yaacob, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Gombak, Mohamad Alwan Ginen, Pengerusi Pengakap Sekolah Rendah (guru besar SK Hulu Kelang), PPD Gombak, Datuk Haji Samah Bachik, Naib Pengerusi Majlis Pengakap Gombak, Arulnathan a/l Visurasam, Bendahari Kehormat Majlis Pengakap Daerah Gombak dan pengetua serta guru besar sekolah. Turut serta Pasukan Kelana Daerah Gombak yang diketuai oleh ADC Kelana, Hairul Azhar Said.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan