Ahad, 28 Mac 2010

Temasya Sukan Tahunan 2010

Temasya Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang akan diadakan seperti berikut:
Tempat: Padang Sekolah
Tarikh: 4 April 2010
Hari: Ahad
Masa: 8.00 pagi hingga 2.00 petang
Perasmi : Y.B Senator Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsudin
Ibu bapa, penjaga dijemput hadir bagi bersama-sama memeriahkan lagi temasya tersebut.
Keterangan gambar: Ceria AJK PIBG Encik Zohari (kiri), Encik Ramli dan Tan Sri Datuk Dr Jins Shamsuddin

Seminar Ibu Bapa Penjaga Hadapi UPSR 2010

BARU-BARU ini berlangsung majlis Hari Mesra Bertemu Ibu Bapa Keluarga & Penjaga Tahun 6 – 2010 yang diadakan di Dewan Bisikan Kalbu, Sekolah Kebangsaaan Hulu Kelang (SKHK),

Majlis yang dihadiri Yang Berbahagia Tuan Guru Besar, Mohammad Alwan Bin Ginen, Yang Dipertua PIBG, Encik Abdul Razak Bin Hussein, guru-guru, ahli jawatankuasa Persatuan Ibu bapa Guru dan ibu bapa serta penjaga murid Tahun 6.

Tujuan diadakan majlis ini untuk ibu bapa dan penjaga untuk mengetahui perkembangan semasa anak-anak dan beryukar-tukar pandangan dengan pihak pentadbir dan guru bagi memastikan kejayaan anak-anak di dalam persiapan menghadapi UPSR, September depan.

Yang Dipertua PIBG, Encik Abdul Razak Hussein dalam ucapan alu-aluan berharap dengan menghadiri majlis ini, ibu bapa dan penjaga dapat mengeratkan hubungan antara guru-guru.

“Sebagai ibu bapa dan penjaga, tidak boleh mengambil sikap lepas tangan menyerah tanggung jawab memastikan kejayaan anak-anak di dalam UPSR nanti hanya kepada guru-guru semata-mata.

“Ibu bapa dan penjaga juga harus memahami guru-guru hanya membantu ibu bapa dan penjaga di dalam mendidik anak-anak mereka. Oleh itu, ibu bapa wajar memastikan anak-anak sentiasa mengulang kaji pelajaran semasa di rumah.

“Saya doakan sesi ini akan mencapai matlamat yang diharapkan semua pihak, baik ibu bapa dan penjaga maupun pihak sekolah, agar pencapaian akademi sekolah ini setanding dengan sekolah yang ada di Daerah Gombak ini,” kata Abdul Razak.

Sementara itu, Tuan Guru Besar SKHK, Mohamad Alwan Ginen, meminta semua pihak berusaha dan berganding bahu untuk memastikan anak-anak sentiasa mengikuti program-program yang telah di atur dan dirancang oleh pihak sekolah.

“Harapan pihak sekolah, biarlah tanggung jawab ini kita pikul bersama yang mana ibu bapa dapatlah kiranya memberi galakan dan dorongan agar anak-anak ini tidak lalai dan alpa dalam mengulangkaji di rumah.

“Biarlah kita bertegas pada hari ini dan tidak menyesal di kemudian hari. Saya percaya dan yakin jika ada kerjasama kita dapat dipupuk dan dipelihara secara berterusan adalah tidak mustahil jika anak-anak harapan kita dapat berjaya dengan cemerlang,” kata Mohamad Alwan.

Sejurus majlis perasmian oleh Tuan Guru Besar, pembentangan analisis peperiksaan dan program peningkatan UPSR 2010 disampaikan oleh Penyelaras Tahun 6, Puan Norhaslinda Haji Harabayni.

Beliau mengumumkan jadual pelaksanaan kerja pakej peningkatan UPSR 2010 yang sudahpun berjalan sejak Januari lalu.

Antaranya ujian diagnostik iaitu penilaian prestasi semasa murid-murid, orientasi mata pelajaran UPSR yang memberi pendedahan kepada semua murid format soalan mata pelajaran UPSR, perkampungan ilmu 1 dan 2 yang diadakan Mac dan Julai depan serta kelas bimbingan hari Sabtu bagi membimbing pelajar supaya kelemahan yang ada dapat diperbaiki.

“Kelas bimbingan sudahpun bermula Februari lalu dan akan diteruskan sehingga September depan. Turut dilaksanakan aktiviti ujian Setara, ujian bulanan, kelas bimbingan dan pengukuhan, bengkel teknik menjawab soalan, program pemantapan minda cemerlang, peperikaan bulanan dan akhir sekali program santapan rohani,” kata Puan Norhaslinda yang juga guru Kelas Tahun 6 Jauhari.

Kelas tambahan bermula 6 Februari lalu, diadakan setiap Sabtu. Ia akan berakhir pada 20 September, menjelang peperiksaan UPSR. Sepanjang Mac lalu, enam kelas tambahan diadakan dan pada April nanti dua kelas tambahan perlu murid-murid hadiri begitu juga pada Mei ini.

Namun Jun depan, sebanyak enam kelas tambahan disediakan, diikuti Julai (3 kali), Ogos (2 kali) dan September sebanyak lima kali. Setiap mata pelajaran mengambil masa selama sejam bermula jam 7.30 pagi dan kelas tambahan akan berakhir jam 12 tengah hari.

Lima kumpulan iaitu Matahari, Orkid, Kenanga, Mawar dan Kekwa ditubuhkan bagi mengisi jadual kelas tambahan yang diajar oleh guru mata pelajaran Bahasa Melayu (Puan Norhaslinda Harabayni, Puan Azlinda Shukor), Bahasa Inggeris (Puan Rahimah A.Latif, Puan Rosliza Nik Mustafa), Matematik (Encik Zahari Mohd Zain, Puan Maisyarah Mohd Zain) dan mata pelajaran Sains diajar oleh Puan Zaida Talib dan Puan Ildawati Halil.

Pada tahun ini, seramai 141 murid-murid akan mengambil peperiksaan UPSR 2010, yang dijadualkan bermula penghujung September depan, kira-kira lima bulan dari sekarang.
Keterangan gambar: Tuan Guru Besar, Mohamad Alwan Ginen

Keterangan gambar: Puan Norhaslinda, penyelaras program



















Rabu, 24 Mac 2010

Sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah




SEBAGAIMANA tahun lalu, sambutan Maulidur Rasul Nabi Junjungan Muhammad SAW, peringkat sekolah 1431 hijrah yang bertemakan Memantapkan Ukhwah Memperkasakan Ummah, berlangsung dengan sempurna, baru-baru ini.

Perarakan ini membabitkan pelajar sekolah Tahun 1, Tahun 3, Tahaun 4, Tahun 5 dan Tahun 6, mengeliling kawasan sekolah dan berahir di Dewan Bisikan Kalbu, Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK).

Turut serta murid pra-sekolah dan Tadika Kemas yang mendahului perarakan tersebut dengan salawat ke atas Baginda Rasulullah.

Hadir sama di dalam perarakan tersebut ialah Yang Berbahagia Penghulu Mukim Hulu Kelang, Tuan Zaimi Ghazali, Guru Besar Encik Mohamad Alwan Ginen, Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Encik Abdul Razak Hussin serta ahli jawatankuasa PIBG dan guru-guru.

Majlis sambutan tambah bermakna dengan paluan kompang, diikuti bacaan ayat suci al Quran, yang disampaikan oleh adik Mohd Jefri Sufyan, Tahun 6 Wawasan. Adik Mohd Jefri, adalah johan Tilawah al Quran 2010 SKHK.

Diikuti persembahan tiga kumpulan nasyid iaitu al Naim (johan persembahan), Bulan Mentari (tempat kedua) dan tempat ketiga kumpulan Nur Zaharah. Turut meceriakan majlis, penyampaian hadiah kepada pelajar yang cemerlang dalam pelbagai aktiviti sekolah.

Sebelum itu, dalam ucapan sambutan, Yang DiPertuan PIBG, menggesa murid-murid mencontohi dan menghayati perjuangan Baginda Rasulullah yang berjaya membawa Islam ke mercu kegemilangan, berteraskan keimanan, disiplin serta keperibadian.

“Oleh sebab itulah, Baginda Rasulullah disanjungi tinggi umatnya sehingga ke hari ini. Malah Baginda Rasulullah juga menjadi contoh terbaik kepada pemimpin dunia semasa hayat Baginda,” kata Abdul Razak.

Sambutan Maulidur Rasul 1431 ceria dengan nasyid, bacaan al Quran






































Ahad, 28 Februari 2010

Rosmah saran peranan Persatuan Pandu Puteri kaji semula

KUALA LUMPUR - Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia meminta pergerakan itu mengkaji semula peranannya supaya seiring dengan keperluan semasa.


Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan kewujudan persatuan itu terus relevan dan memberi impak terhadap masyarakat.


"Persatuan Pandu Puteri seharusnya keluar daripada aktiviti-aktiviti yang hanya berkisar khusus untuk anggota semata-mata.


"Sebaliknya persatuan perlulah merangka peranan dan tanggungjawab, bagi memastikan ia terus popular, relevan, segar dan disegani sebagai sebuah persatuan yang menyumbang kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat secara amnya," katanya ketika melancarkan Hari Peringatan Sedunia Persatuan Pandu Puteri Malaysia.


Rosmah berkata persatuan itu harus melaksanakan proses penjenamaan semula dan berfikir di luar batasan terutama dalam mencari jalan untuk membantu remaja wanita negara ini membangunkan potensi mereka sepenuhnya.


Merujuk tema Hari Peringatan Sedunia Pandu Puteri tahun ini iaitu "Bersama Kita Membasmi Kemiskinan dan Kelaparan", Rosmah berkata pendidikan merupakan teras utama serta pelaburan terpenting bagi membantu seseorang individu itu keluar daripada kitaran kemiskinan.


Beliau mencadangkan agar persatuan menganjurkan program berbentuk pendidikan untuk anggota-anggota seperti kelas tambahan, program 'mentor-mentee' dan kursus motivasi.


"Melalui program sedemikian, anggota-anggota yang telah berjaya boleh menghulurkan bantuan dalam bidang pembelajaran kepada anggota lain yang memerlukan tunjuk ajar dan bimbingan.


"Usaha ini akan dapat membantu persatuan dalam memacu hala tuju mereka supaya dapat bersama-sama mendukung matlamat persatuan dalam melahirkan anggota berwibawa dan berjaya," katanya.


Rosmah turut menyarankan Persatuan Pandu Puteri supaya terus menjalankan program penambahan anggota daripada pelbagai kaum termasuk dari luar bandar bagi memantapkan lagi persatuan.


"Saya tidak mahu Persatuan Pandu Puteri Malaysia hanya dipelopori oleh satu-satu kaum sahaja tetapi perlulah dizahirkan menerusi penyertaan anggota berbilang bangsa seiring matlamat gagasan 1Malaysia," katanya.


Sehubungan itu, beliau meminta persatuan itu turun padang dan mendekatkan diri dengan masyarakat di samping memberi penerangan mengenai kepentingan kewujudan persatuan itu dan program kepanduan yang dijalankan.


Penubuhan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Kuala Lumpur pada 1916 dengan moto "Selalu Sedia" adalah berdasarkan Pergerakan Pengakap yang diasaskan oleh seorang tentera British Lord Robert Stephenson Smyth Baden-Powell pada awal 1900. -BERNAMA

Ahad, 14 Februari 2010

Hampir 60% murid belum kuasai kemahiran asas 3M


Keterangan gambar: MUHYIDDIN Yassin bersama pelajar yang menghidap penyakit kerapuhan tulang, Siti Nurfarah Hanim Azman, 13, yang didukung bapanya, Azman Mohamad selepas menyampaikan anugerah kecemerlangan UPSR dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sempena Program Juara Rakyat di Dewan Majlis Daerah Besut, Terengganu.



BESUT - Hampir 60 peratus pelajar tahap satu (tahun satu, dua dan tiga) di sekolah seluruh negara setakat ini masih belum dapat menguasai kemahiran asas Membaca, Menulis dan Mengira (3M).


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, menyedari hakikat itulah Kementerian Pelajaran merangka beberapa program termasuk memastikan mereka yang kurang berkeupayaan mengikuti kelas pra-sekolah bagi meningkatkan penyertaan kepada 87 peratus menjelang tahun 2012.


Beliau berkata, ini sejajar dengan langkah kerajaan menggariskan beberapa sasaran penting di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan.


''Pencapaian kini hanya pada tahap 60 peratus dan kita akan meningkatkan kadar penyertaan murid kepada 87 peratus menjelang tahun 2012," katanya semasa berucap merasmikan Program Juara Rakyat Peringkat Bahagian Besut di Dewan Gong Kemuntong Jerteh.


Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga akan memperkasakan pendidikan pra-sekolah dalam usaha memastikan semua murid pra-sekolah di negara ini berpeluang mendapat pendidikan asas lebih sempurna.


Katanya, selain melatih dan mengambil lebih ramai guru pra-sekolah kerajaan juga akan menyediakan peruntukkan besar bagi memastikan peluang diberi kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan.


Ditanya mengenai aduan sesetengah pengetua kononnya mereka masih berada tahap Gred Memangku DG 48, sedangkan kementerian berjanji menyelesaikan sejak tahun 2008,Muhyiddin berkata pihaknya akan membuat kajian secara menyeluruh berhubung aduan itu.


Katanya, ini penting sejajar dengan hasrat kementerian merangka program menarik untuk memberikan insentif setimpal kepada pengetua, guru besar dan kakitangan sekolah yang berjaya melonjakkan pencapaian sekolah masing-masing.


Mengenai pemilihan pengetua cemerlang, beliau berkata, pemilihan mereka dibuat secara adil dan telus tanpa mengira sama ada di sekolah terpilih atau luar bandar.


''Ada juga persatuan memberi maklum balas tentang guru tersebut dan kementerian sudah ambil usaha untuk memartabatkan profesion pendidikan," katanya.


Mengulas tentang dakwaan sesetengah pihak yang menganggap 20 sekolah yang diumumkan menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) baru-baru ini sebagai elitist, beliau menegaskan ia adalah dakwaan yang tidak benar.


Ujar Muhyiddin, langkah tersebut adalah sebagai usaha mengiktiraf pencapaian sekolah dan guru besar sekolah tersebut selain menjadi penanda aras kepada kecemerlangan yang membolehkan sekolah itu dijadikan contoh oleh sekolah lain untuk mencapai kejayaan yang lebih baik.


Tambahnya, bagi proses jangka masa panjang, kerajaan juga akan menjadikan semua sekolah di seluruh negeri sebagai sekolah cemerlang dalam usaha memenuhi permintaan yang semakin bertambah.


"Dalam tahun ini juga kita merancang akan mengadakan penambahbaikan terhadap semua sekolah..jadi tidak akan timbul lagi isu ibu bapa yang berebut-rebut ingin menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama.


"Jika sekolah itu tidak sampai hingga ke peringkat cemerlang sekalipun kita akan memastikan ia akan mencapai tahap yang lebih baik.


"Justeru itu jika tahun ini kita hanya 20 buah sekolah sahaja dijadikan sebagai SBT, tahun depan kita jadikan 30 buah manakala tahun depan lagi kita jadikan 50 buah pula bagi membolehkan semua anak-anak dapat belajar di SBT," jelasnya.