Selasa, 14 Jun 2011

Program Permaufakatan PIBG Daerah Gombak Ke Arah Kecemerlangan Akademik

TANGGAL 3 Mei lalu, berlangsung majlis Permaufakatan PIBG Daerah Gombak Ke Arah Kecemerlangan Akademik yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak, Selangor.

Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran II Dr Haji Puad Zakarshi, turut dihadiri ramai AJK PIBG dari SMK dan SK sekitar Gombak, Selangor tekun mendengar ucapan alu-aluan daripada Yang Dipertuan PIBG SKM Sungai Pusu, Selangor, Haji Mohd Asri Mohd Nasir.

Sementara itu Dr Puad dalam ucapannya, meminta PIBG sekolah lebih berdikari dalam menjayakan pelbagai aktiviti melibatkan ibu bapa.

Beliau yang juga menekankan komitmen yang lebih mantap antara guru dan ibu bapa bagi mencapai matlamat menjadi PIBG yang disegani.

PIBG SK Hulu Kelang yang diwakili Yang Dipertuanya, Abdul Razak Hussin, Puan Satinah Kartho (Hal Ehwal Pelajar), guru kaunselor Radzuan Ariffin dan AJK PIBG lain menyifatkan majlis ini dapat mengeratkan hubungan antara Kementerian Pelajaran dengan PIBG.

“Bagaimanapun program ini masih terdapat kekurangannya kerana ramai yang berharap ia menjadi kesempatan AJK PIBG bersoal jawab.

“Namun ramai yang hampa kerana ia tidak berlaku sebagaimana yang diharapkan. Pun begitu di harap pada masa akan datang pihak Kementerian meluangkan masanya menghadiri program seumpama ini,” kata Abdul Razak yang memuji program anjuran PIBG & SMK Sungai Pusu ini.

Turut hadir di dalam majlis yang diadakan di Dewan Mutiara Bistari, SMK Sungai Pusu ialah Pengarah Pelajaran Negeri Selangor, Tuan Sulaiman Wak, pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Gombak, Puan Dayang Fatimah, Pengetua SMK Sungai Pusu, Hajah Muslimah Haji Tahir dan ketua serta pemimpin masyarakat setempat.












Isnin, 18 April 2011

Sekitar Program Hari Usahawan Muda SKHK 2011

GAMAT TELATAH RAJA LAWAK
Pian Cecupak, Man, Amir Raja Lawak meriahkan warga SKHK

KEMUNCULAN Man Raja Lawak bersama beberapa pelawak popular menceriakan Hari Usahawan Muda Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK) 2011 baru-baru ini.
Celoteh Man atau Abdu Rahman Kassim bersama geng Raja Lawak Astro membuat warga SKHK tidak kering gusi, sekali gus mengubati kehampaan mereka untuk melihat aksi Mila AF4.
Mila yang dijadualkan menghadiri program hari usahawan itu tidak dapat hadir di saat akhir kerana masih berada di Jakarta.
Hari Usahawan SKHK dimulakan dengan acara senam robik murid dan ibu bapa bersama Penyelaras Parlimen BN Gombak, Megat Zulqarnain Datuk Mahaguru Omar Din Mauju, yang merasmikan program itu.
Produk Kasturi Syifa’ menjadi penaja utama program yang bakal diadakan dua tahun sekali ini.
Pengunjung juga disajikan dengan persembahan seni silat lincah oleh 40 pesilat muda diketuai Johari Ahmad, sebelum Pian Cecupak tampil memberi peluang warga SKHK beramah mesra.
Ini disusuli dengan kehadiran Bob (anggota Kumpulan Bobo Raja Lawak), Zaid dan Bang Ya dari siri TV Alamak dan Amir Raja Lawak yang menggamatkan suasana dengan telatah lucu mereka.
Sebanyak 17 gerai pelbagai jualan yang diuruskan guru dan PIBG menjadi tumpuan orang ramai selain layanan mesra lima pakar urut dari Persatuan Orang Cacat Penglihatan Ampang, Selangor.
Majlis penutupan program itu disempurnakan oleh Senator Tan Sri Jins Shamsuddin yang turut mengunjungi gerai jualan dan pameran beberapa agensi kerajaan seperti Perhilitan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan sebagainya.
Murid SKHK turut mengambil peluang merasai pengalaman memasuki rumah hantu, berkaraoke dan menonton empat filem pecah panggung seperti Hantu Kak Limah Balik Rumah, Papadom, Senario The Movie 2 dan sebagainya.
Turut hadir ialah Penghulu Mukim Hulu Kelang, Zaimi Ghazali dan Yang Dipertua PIBG SKHK, Abdul Razak Hussein serta 2,000 pengunjung sekitar Hulu Kelang.