Khamis, 10 Disember 2009

Al Fatihah



Keterangan gambar: Allahyarham bertukar pandangan sambil mendengar cadangan dari bapa murid Tahun 2, semasa majlis Mesra Pelanggan, Penggal Kedua, Ogos lalu.

Warga Pendidik SKHK kehilangan Guru Berpengalaman

SALAM TAKZIAH kepada keluarga guru Penolong Kanan Sekolah Petang, Abd Wahid Bin Mohd Yusof, yang kembali ke rahmatullah, jam 3 pagi tanggal 10 Disember 2009.

Pemergian guru Penolong Kanan Sekolah Petang, Abd Wahid Bin Mohd Yusof, mengejutkan ramai warga guru, AJK PIBG dan ibu bapa.
Menurut ahli keluarga Allahyarham, sebelum menghembuskan nafas disisi isteri dan anak-anak, beliau mengadu badan panas.
Allahyarham Abd Wahid Bin Mohd Yusof, mula berkhidmat sebagai seorang tentera sebelum menyertai dunia perguruan, hampir 20 tahun lamanya. Allahryarham pernah mencurah bakti di beberapa sekolah di Selangor. Antaranya, Sekolah Kebangsaan Sungai Pusu, Sekolah Kebangsaan Melawati dan terakhir di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang, Ampang, Selangor.
Sebagai guru Penolong Kanan Sekolah Petang, Abd Wahid Bin Mohd Yusof, di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang, Allahyarham hanya sempat mencurah bakti selama tujuh tahun, bermula pada 2002. Disayangi murid-murid Tahun 2, sekalipun tegas, Allahyarham banyak memberi nasihat dari menghukum, mengajar subjek Pendidikan Kesihatan dan Seni Lukis, dikenali seorang yang berjiwa nasionalisma. AJK PIBG, warga pendidik dan murid sekolah yang baru mengenali Allahyarham, menyifatkan kehilangan Allahyarham amat dirasai dan menyentuh sanubari. Allahyarham juga amat disenangi kerana sikap rendah diri serta mempunyai gagasan minda dan luas pengalaman dalam mendidik selama bergelar cikgu. Semoga roh Allahyarham yang dikebumikan di tanah kelahirannya, di Masjid Tanah, Melaka, dicucuri rahmatNya dan disemadikan di sisi orang-orang yang solehin. Al Fatihah.


Rabu, 9 Disember 2009

Sedutan Akhbar!

KP Pelajaran Sambut Baik Wajibkan Sukan Di Sekolah

PETALING JAYA - Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom menyambut baik saranan supaya dasar pendidikan kokurikulum di sekolah diubah dengan menjadikan sukan sebagai aktiviti wajib.

Katanya peranan guru tidak akan bertambah walaupun dasar berkenaan diperkenalkan.

"Peranan guru tidak akan bertambah walaupun aktiviti sukan akan diwajibkan di peringkat sekolah," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mahu dasar berkenaan diwajibkan bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang kokurikulum.

Menurut Alimuddin lagi, proses pembelajaran tidak akan terganggu walaupun aktiviti sukan diwajibkan dalam kokurikulum pelajar.

"Proses pembelajaran pelajar sekolah sama sekali tidak akan terganggu walaupun aktiviti sukan sudah menjadi kewajipan dalam kokurikulum pendidikan negara.

"Untuk melahirkan ahli sukan dan atlit yang bermula di bangku sekolah dan seterusnya bagi meningkatkan kemajuan sukan negara," katanya.

Tambah Alimuddin, pihak guru semestinya bijak mengatur jadual untuk aktiviti sukan di sekolah supaya proses pembelajaran dapat dijalankan dengan sempurna.

Katanya, aktiviti sukan yang terdapat dalam silibus pendidikan sedia ada sememangnya berkesan untuk melahirkan pelajar yang cergas dan cerdas. - mStarOnline

Selasa, 8 Disember 2009

Bicara Akademi

Peranan pengetua dan guru besar sebagai pemimpin sekolah
Oleh: Prof Datin Dr Rahimah Ahmad, Felo Penyelidik Kanan Institut Pengajian Kepengetuaan Universiti Malaya
TUGAS pengetua dan guru besar sebagai pemimpin sekolah kini semakin mencabar kerana selain berdepan tuntutan hakiki memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan lancar, pada masa sama mereka terpaksa memenuhi pelbagai tanggungjawab lain.
Antaranya mereka juga perlu menghadiri mesyuarat di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pelajaran negeri, selain mengikuti kursus berkaitan.
Bebanan tugas itu menjadikan mereka ada kalanya tidak terkejar dan terpaksa mengagihkan tugas mengurus kepada guru penolong kanan.
Proses mengagihkan tugas kepada guru lain itu dapat mewujudkan semangat kerja dalam pasukan yang tinggi, selain memberi kepercayaan pegawai lain dalam menjayakan tugas mengurus.
Namun pada masa sama, sesibuk mana sekali pun mereka, pemimpin sekolah tidak boleh melepaskan tanggungjawab mengawal selia proses P&P kerana ia adalah aktiviti teras yang menjadi tunggak kecemerlangan pendidikan.
Proses P&P berkesan menjadi penanda aras kepada kecemerlangan sesebuah sekolah sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.
Sebagai pemimpin berpengalaman dan melaksanakan proses P&P ketika menjadi guru biasa, kini bidang tugas mereka hanya memantau pelaksanaannya dan memastikan ia berjalan lancar.
Sebagai pemimpin mereka perlu peka mengenai keperluan semasa dan kehendak pelajar. Pemantauan menyeluruh mengenal pasti prestasi adalah langkah awal pemimpin meningkatkan perkhidmatan sedia ada.
Suntikan semangat serta bimbingan berterusan kepada guru penting supaya mereka dapat terus mendidik dengan penuh dedikasi.
Guru juga memerlukan bimbingan dan sokongan serta suntikan motivasi daripada pemimpin supaya mereka dapat memberikan yang terbaik dan sedia berganding bahu dalam memenuhi aspirasi sekolah mencapai kecemerlangan.
Tidak dinafikan terlalu ramai guru besar dan pengetua terpaksa menghabiskan banyak masa di luar sekolah. Tugas mereka semakin mencabar terutama apabila berdepan dengan penanda aras kecemerlangan yang diukur berdasarkan pencapaian akademik menerusi sistem peperiksaan.
Tanpa disedari keghairahan mencapai kecemerlangan menyebabkan mereka terlepas pandang hingga menyebabkan proses P&P tidak seimbang.
Guru mengajar semata-mata untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran dan membolehkan peperiksaan dilaksanakan secepat mungkin.
Pemimpin sekolah perlu melihat keadaan ini sebagai sesuatu yang perlu diperbaiki. Senario ini menyebabkan ketulenan proses P&P tidak wujud kerana pelajar mengikuti pengajian semata-mata untuk menghabiskan silibus tetapi gagal menghayati pengetahuan dipelajari.
Kita tidak mahu melahirkan pelajar cemerlang akademik semata-mata kerana khuatir apa yang dipelajari gagal menjadikan mereka insan berilmu dan memiliki sahsiah yang tinggi.
Pengetahuan bersifat subjektif, hanya pelajar yang dapat menghayati ilmu menjadikan mereka benar-benar individu berfikir dan membentuk sahsiah serta personaliti unggul.
Sebelum ini banyak aduan terutama daripada ibu bapa mengenai sikap ghairah sekolah yang mengutamakan kecemerlangan akademik menyebabkan pelajarnya tertekan.
Tekanan yang diberikan pemimpin sekolah menyebabkan pelajar terutama di mereka yang cerdik terasa seolah-olah dipergunakan.
Tindakan itu apabila diperhalusi ada sebabnya dalam usaha mendisiplinkan pelajar supaya memberikan perhatian berterusan dalam memacu kecemerlangan dan mengharumkan nama sekolah.
Tanpa disedari proses pembelajaran itu lebih menyeluruh kerana selain memberi ilmu pengetahuan, pada hakikinya ia membentuk insan terus berfikir apa yang dipelajari dan mengamalkannya dalam kehidupan harian.
Kebanyakan pemimpin di sekolah adalah mereka berpengalaman mengajar dan seharusnya di peringkat pentadbiran, masing-masing sudah bersedia berdepan suasana sedemikian.
Pastikan pengalaman dikongsi bersama dalam menjayakan proses P&P yang lebih berkesan bagi melahirkan generasi lebih berdaya saing serta cemerlang akademik dan sempurna sahsiah.

Isnin, 7 Disember 2009

Berita Sana Sini


Muhyiddin Mahu Sukan Jadi Kokurikulum Wajib Di Sekolah
MUAR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mahu dasar pendidikan kokurikulum di sekolah diubah dengan menjadikan sukan sebagai aktiviti wajib.

Berucap pada majlis makan malam bekas pelajar Sekolah Menengah Tinggi Muar, di sini semalam, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata penekanan terhadap sukan menjadi dasar baru kementeriannya bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang kokurikulum.
"Kokurikulum ada macam-macam sama, ada sukan dan bukan sukan yang termasuk kelab, persatuan dan badan beruniform. Saya hendak ubah sikit dasar. Yang wajib ialah sukan," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang juga rakan sekelas Muhyiddin ketika menuntut di sekolah berkenaan di Tingkatan Enam Rendah dan Enam Atas, pada 1965 dan 1966.

Muhyiddin berkata kementerian mahu mengembalikan kegemilangan bidang sukan di setiap sekolah dan ganjaran serta insentif akan diberikan bagi mencapai tujuan berkenaan.

"Kita tidak mahu cemerlang di dalam akademik sahaja, tetapi mesti juga dalam bidang yang lain. Kita mahu bawa balik sukan ke sekolah-sekolah," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang mengibaratkan kepulangannya ke sekolah yang ditubuhkan pada 1902 itu sebagai "sirih pulang ke gagang" berkata sekolah berkenaan banyak melahirkan kenangan manis kepada beliau sehingga berjaya pada hari ini.

Beliau berkata antara kenangan manis itu ialah berpeluang menyertai pementasan teater "Uda dan Dara".

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pendiam ketika bersekolah, Muhyiddin berkata jasa guru-guru di sekolah berkenaan tidak akan beliau lupakan walaupun beliau sendiri tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang Timbalan Perdana Menteri hari ini.

Muhyiddin turut merasmikan muzium warisan Sekolah Tinggi Muar dan mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi menubuhkan kumpulan pancaragam Sekolah Tinggi Muar. BERNAMA

Ahad, 6 Disember 2009

Berita Sana sini!


Sistem Pelajaran Perlu Diubah Untuk Keperluan Pelajar Pintar Cerdas - PM

BANGI - Sistem dan kaedah pembelajaran serta pengajaran untuk pelajar pintar cerdas perlu diperbaiki serta diperhebatkan selepas sekian lama ia seakan terabai kerana tumpuan lebih diberikan kepada pelajar golongan khas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sistem pendidikan negara selama ini hanya memberi keutamaan dan tumpuan kepada pelajar golongan khas tanpa menyedari tumpuan yang sama harus diberikan kepada pelajar pintar.

"Selama ini kita lihat dasar pendidikan negara kita ada kelas untuk pelajar biasa dan ada kelas khas untuk pelajar cacat penglihatan, cacat pendengaran, autisme, sindrom down dan segala aspek daripada segi kecacatan dan kelemahan diambil kira tapi kita lupa ada pelajar yang kecerdasan mereka, merupakan golongan luar biasa.

Luar biasa daripada segi mereka berfikir, luar biasa daripada segi mereka belajar. Mereka juga perlukan pembelajaran yang baik," katanya semasa merasmian perkhemahan cuti sekolah PERMATA pintar negara di sini hari ini.

Najib berkata sudah tiba masanya aspek pembelajaran dan pengajaran yang sesuai untuk golongan pelajar pintar cerdas diadakan selepas sekian lama ia terbiar sedangkan ia telah lama wujud di negara-negara lain.

"Sudah sampai masanya kita melakukan perancangan untuk keperluan pelajar-pelajar seperti ini. Saya yakin program seperti ini sama ada tadika pintar, sekolah pintar, akan membawa perubahan besar pada pembentukan jati diri bangsa yang lebih hebat untuk masa akan datang," katanya.BERNAMA

Jumaat, 4 Disember 2009

Berita Terkini!

Keterangan gambar: Tan Sri Muhyiddin bersama isteri Puan Sri Noraini, bersama staf dan pegawai Maybank Pagoh, selepas merasmikan cawangan bank ini. Foto ihsan: Minaq Jinggo
Kementerian Pelajaran teliti sesi persekolahan 2010
PUTRAJAYA - Kementerian Pelajaran melakukan penelitian secara dekat membabitkan persiapan menghadapi sesi baru persekolahan pada tahun depan.
Ini bagi memastikan semua isu berhubung penggal persekolahan dapat ditangani sebelum sesi persekolahan 2010 bermula.
Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di sini hari ini
Menurut kementerian itu, jawatankuasa tersebut memperincikan semua isu berkaitan persekolahan dan mengambil tindakan proaktif bagi menyelesaikannya.
"Segala isu melibatkan pelbagai aspek seperti infrastruktur, perabot, peralatan, penempatan guru, bayaran tambahan dan banjir.
"Komitmen kementerian adalah memastikan kemudahan asas untuk setiap murid iaitu satu set meja dan kerusi serta sat set buku teks bantuan disediakan pada hari pertama persekolahan," kata kenyataan yang dikeluarkan pada mesyuarat berkenaan di sini.
Sesi persekolahan tahun depan bermula pada 3 dan 4 Januari 2010.
Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri dan ketua-ketua jabatan di kementerian itu.
Kenyataan itu menyebut, isu-isu yang mungkin timbul semasa sesi persekolahan 2010 dikenalpasti oleh Jawatankuasa Petugas Khas Penggal Persekolahan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.
"Jawatankuasa itu telah mengenal pasti tindakan-tindakan yang perlu atau boleh diambil bagi mengatasi dan mengurangkan masalah yang mungkin timbul pada hari pertama persekolahan.
"Ini mengunakan instrumen Pangkalan Data Laporan Akhir Tahun (dBLAT)," katanya.

Khamis, 3 Disember 2009

Berita!


Bayaran tambahan persekolahan

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran akan mengenakan bayaran tambahan kepada pelajar bagi sesi persekolahan tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, berbeza dengan yuran persekolahan, bayaran tambahan tersebut akan digunakan untuk manfaat para pelajar.

Menurut beliau, yuran persekolahan pula akan digunakan untuk menampung hal ehwal pentadbiran sekolah serta penambahbaikan beberapa kemudahan yang disediakan.

Katanya, jumlah bayaran tambahan itu akan diumumkan kelak dan ia boleh dibayar ketika sesi persekolahan bermula.

"Bayaran tersebut tidak akan membebankan ibu bapa dan para pelajar. Ia juga akan digunakan untuk kemudahan dan aktiviti mereka.

"Sebagai contoh, duit yuran tambahan itu akan digunakan sebagai insurans dan untuk menjayakan aktiviti kurikulum pelajar sepanjang sesi persekolahan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas hasil perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Dalam pada itu, Alimuddin berkata, mesyuarat itu kebiasaannya akan diadakan setiap hujung tahun bagi meneliti persiapan persekolahan serta menangani pelbagai isu yang timbul sebelum bermulanya sesi persekolahan baru.

"Dalam mesyuarat tersebut, apa jua perkara berbangkit seperti infrastruktur, perabot, peralatan dan jumlah guru akan diperbincangkan.

"Ini bertujuan agar para pelajar dapat mengikuti sesi persekolahan dalam keadaan selesa serta memastikan segala kemudahan yang disediakan berada dalam keadaanbaik," jelasnya.

Sesi persekolahan baru bermula pada 3 dan 4 Januari ini.