Selasa, 25 Disember 2012

WARGA GURU SKHK BIMBANG BANJIR ANCAM NYAWA

HULU KELANG: Warga guru Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK), Selangor bimbang kejadian berulang kali banjir kilat di sekolah ini, boleh mengancam keselamatan murid. Kebimbangan ini diluahkan Guru Besar SKHK, Kamis Md Nor ekoran banjir kilat yang berlaku baru-baru ini. Hampir separuh dewan sekolah, kantin, tempat letak kereta dan bilik guru dinaiki air sedalam dua meter. SKHK yang juga popular dengan gelaran Sekolah P Ramlee, kerana sebahagian penggambaran filem Masam Masam Manis pernah dirakamkan di situ pada 1965. “Saya bimbang kejadian ini bukan sahaja merosakkan peralatan sekolah seperti kerusi, meja dan buku-buku malah boleh mengancam nyawa serta keselamatan anak-anak murid yang sedang belajar. “Kalau hujan lebat berlaku pada sebelah petang, kawasan rendah seperti kantin, dewan, bilik guru dan tempat letak kereta dinaiki air sedalam dua meter. “Ini kerana terdapat longkang besar menjadi laluan air menuju masuk ke Sungai Kelang sering tersumbat termasuk tanah menimbus laluan longkang menyebabkan air limpah masuk ke kawasan sekolah. “Saya juga risaukan nasib murid-murid kelas petang iaitu murid Tahun 2 yang menghadapi kesulitan jika berlaku hujan lebat semasa waktu rehat. “Ini kerana kantin sekolah mudah dinaiki air menyebabkan mereka tidak dapat menikmati waktu rehat dengan sempurna selain kesukaran guru-guru berulang alik ke kelas lain,” katanya. Ekoran itu beliau yang membuat aduan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Gombak (PPD Gombak) mengenai perkara ini sebelum kejadian tidak diingini berlaku. Berikutan aduan tersebut, Pegawai Pelajaran Daerah Gombak Dayang Fatimah Abg Narudin bergegas meninjau ke kawasan kejadian dan berjanji akan membantu menangani masalah yang dihadapi oleh sekolah berkenaan secepat mungkin. Khuatir banjir kilat ini akan menjejaskan bangunan asal SKHK yang dibina pada 1883, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) meminta agar status sekolah yang kini berusia 119 tahun ini diuar-uarkan sebagai bangunan warisan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN). Yang Dipertua PIBG SKHK, Abdul Razak Hussein ketika dihubungi berkata meminta Jabatan Warisan Negara sudah sewajarnya bangunan asal SKHK dinaik taraf menjadi bangunan warisan negara sudah melebihi usia 100 tahun. “Saya berharap JWN akan segera mengambil daya usaha menyelamatkan bangunan ini kerana ia mempunyai sejarah tersendiri. “Malah insiatif ini dapat menjadi kenyataan pada tahun depan sekaligus memberi peluang orang ramai mengunjungi bangunan ini sebagai lokasi pelancongan,” kata Abdul Razak.

1 ulasan:

  1. emel dah dikirim kepasa Menteri Pelajaran yang juga TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin namun belum ada jawapan...harap ada rspon baik selepas ini. Insya-Allah

    BalasPadam