GAMAT TELATAH RAJA LAWAK
Pian Cecupak, Man, Amir Raja Lawak meriahkan warga SKHK
KEMUNCULAN Man Raja Lawak bersama beberapa pelawak popular menceriakan Hari Usahawan Muda Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK) 2011 baru-baru ini.
Celoteh Man atau Abdu Rahman Kassim bersama geng Raja Lawak Astro membuat warga SKHK tidak kering gusi, sekali gus mengubati kehampaan mereka untuk melihat aksi Mila AF4.
Mila yang dijadualkan menghadiri program hari usahawan itu tidak dapat hadir di saat akhir kerana masih berada di Jakarta.
Hari Usahawan SKHK dimulakan dengan acara senam robik murid dan ibu bapa bersama Penyelaras Parlimen BN Gombak, Megat Zulqarnain Datuk Mahaguru Omar Din Mauju, yang merasmikan program itu.
Produk Kasturi Syifa’ menjadi penaja utama program yang bakal diadakan dua tahun sekali ini.
Pengunjung juga disajikan dengan persembahan seni silat lincah oleh 40 pesilat muda diketuai Johari Ahmad, sebelum Pian Cecupak tampil memberi peluang warga SKHK beramah mesra.
Ini disusuli dengan kehadiran Bob (anggota Kumpulan Bobo Raja Lawak), Zaid dan Bang Ya dari siri TV Alamak dan Amir Raja Lawak yang menggamatkan suasana dengan telatah lucu mereka.
Sebanyak 17 gerai pelbagai jualan yang diuruskan guru dan PIBG menjadi tumpuan orang ramai selain layanan mesra lima pakar urut dari Persatuan Orang Cacat Penglihatan Ampang, Selangor.
Majlis penutupan program itu disempurnakan oleh Senator Tan Sri Jins Shamsuddin yang turut mengunjungi gerai jualan dan pameran beberapa agensi kerajaan seperti Perhilitan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan sebagainya.
Murid SKHK turut mengambil peluang merasai pengalaman memasuki rumah hantu, berkaraoke dan menonton empat filem pecah panggung seperti Hantu Kak Limah Balik Rumah, Papadom, Senario The Movie 2 dan sebagainya.
Turut hadir ialah Penghulu Mukim Hulu Kelang, Zaimi Ghazali dan Yang Dipertua PIBG SKHK, Abdul Razak Hussein serta 2,000 pengunjung sekitar Hulu Kelang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan