Ahad, 28 Mac 2010

Seminar Ibu Bapa Penjaga Hadapi UPSR 2010

BARU-BARU ini berlangsung majlis Hari Mesra Bertemu Ibu Bapa Keluarga & Penjaga Tahun 6 – 2010 yang diadakan di Dewan Bisikan Kalbu, Sekolah Kebangsaaan Hulu Kelang (SKHK),

Majlis yang dihadiri Yang Berbahagia Tuan Guru Besar, Mohammad Alwan Bin Ginen, Yang Dipertua PIBG, Encik Abdul Razak Bin Hussein, guru-guru, ahli jawatankuasa Persatuan Ibu bapa Guru dan ibu bapa serta penjaga murid Tahun 6.

Tujuan diadakan majlis ini untuk ibu bapa dan penjaga untuk mengetahui perkembangan semasa anak-anak dan beryukar-tukar pandangan dengan pihak pentadbir dan guru bagi memastikan kejayaan anak-anak di dalam persiapan menghadapi UPSR, September depan.

Yang Dipertua PIBG, Encik Abdul Razak Hussein dalam ucapan alu-aluan berharap dengan menghadiri majlis ini, ibu bapa dan penjaga dapat mengeratkan hubungan antara guru-guru.

“Sebagai ibu bapa dan penjaga, tidak boleh mengambil sikap lepas tangan menyerah tanggung jawab memastikan kejayaan anak-anak di dalam UPSR nanti hanya kepada guru-guru semata-mata.

“Ibu bapa dan penjaga juga harus memahami guru-guru hanya membantu ibu bapa dan penjaga di dalam mendidik anak-anak mereka. Oleh itu, ibu bapa wajar memastikan anak-anak sentiasa mengulang kaji pelajaran semasa di rumah.

“Saya doakan sesi ini akan mencapai matlamat yang diharapkan semua pihak, baik ibu bapa dan penjaga maupun pihak sekolah, agar pencapaian akademi sekolah ini setanding dengan sekolah yang ada di Daerah Gombak ini,” kata Abdul Razak.

Sementara itu, Tuan Guru Besar SKHK, Mohamad Alwan Ginen, meminta semua pihak berusaha dan berganding bahu untuk memastikan anak-anak sentiasa mengikuti program-program yang telah di atur dan dirancang oleh pihak sekolah.

“Harapan pihak sekolah, biarlah tanggung jawab ini kita pikul bersama yang mana ibu bapa dapatlah kiranya memberi galakan dan dorongan agar anak-anak ini tidak lalai dan alpa dalam mengulangkaji di rumah.

“Biarlah kita bertegas pada hari ini dan tidak menyesal di kemudian hari. Saya percaya dan yakin jika ada kerjasama kita dapat dipupuk dan dipelihara secara berterusan adalah tidak mustahil jika anak-anak harapan kita dapat berjaya dengan cemerlang,” kata Mohamad Alwan.

Sejurus majlis perasmian oleh Tuan Guru Besar, pembentangan analisis peperiksaan dan program peningkatan UPSR 2010 disampaikan oleh Penyelaras Tahun 6, Puan Norhaslinda Haji Harabayni.

Beliau mengumumkan jadual pelaksanaan kerja pakej peningkatan UPSR 2010 yang sudahpun berjalan sejak Januari lalu.

Antaranya ujian diagnostik iaitu penilaian prestasi semasa murid-murid, orientasi mata pelajaran UPSR yang memberi pendedahan kepada semua murid format soalan mata pelajaran UPSR, perkampungan ilmu 1 dan 2 yang diadakan Mac dan Julai depan serta kelas bimbingan hari Sabtu bagi membimbing pelajar supaya kelemahan yang ada dapat diperbaiki.

“Kelas bimbingan sudahpun bermula Februari lalu dan akan diteruskan sehingga September depan. Turut dilaksanakan aktiviti ujian Setara, ujian bulanan, kelas bimbingan dan pengukuhan, bengkel teknik menjawab soalan, program pemantapan minda cemerlang, peperikaan bulanan dan akhir sekali program santapan rohani,” kata Puan Norhaslinda yang juga guru Kelas Tahun 6 Jauhari.

Kelas tambahan bermula 6 Februari lalu, diadakan setiap Sabtu. Ia akan berakhir pada 20 September, menjelang peperiksaan UPSR. Sepanjang Mac lalu, enam kelas tambahan diadakan dan pada April nanti dua kelas tambahan perlu murid-murid hadiri begitu juga pada Mei ini.

Namun Jun depan, sebanyak enam kelas tambahan disediakan, diikuti Julai (3 kali), Ogos (2 kali) dan September sebanyak lima kali. Setiap mata pelajaran mengambil masa selama sejam bermula jam 7.30 pagi dan kelas tambahan akan berakhir jam 12 tengah hari.

Lima kumpulan iaitu Matahari, Orkid, Kenanga, Mawar dan Kekwa ditubuhkan bagi mengisi jadual kelas tambahan yang diajar oleh guru mata pelajaran Bahasa Melayu (Puan Norhaslinda Harabayni, Puan Azlinda Shukor), Bahasa Inggeris (Puan Rahimah A.Latif, Puan Rosliza Nik Mustafa), Matematik (Encik Zahari Mohd Zain, Puan Maisyarah Mohd Zain) dan mata pelajaran Sains diajar oleh Puan Zaida Talib dan Puan Ildawati Halil.

Pada tahun ini, seramai 141 murid-murid akan mengambil peperiksaan UPSR 2010, yang dijadualkan bermula penghujung September depan, kira-kira lima bulan dari sekarang.
Keterangan gambar: Tuan Guru Besar, Mohamad Alwan Ginen

Keterangan gambar: Puan Norhaslinda, penyelaras program



















Tiada ulasan:

Catat Ulasan