BANGI - Sistem dan kaedah pembelajaran serta pengajaran untuk pelajar pintar cerdas perlu diperbaiki serta diperhebatkan selepas sekian lama ia seakan terabai kerana tumpuan lebih diberikan kepada pelajar golongan khas.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sistem pendidikan negara selama ini hanya memberi keutamaan dan tumpuan kepada pelajar golongan khas tanpa menyedari tumpuan yang sama harus diberikan kepada pelajar pintar.
"Selama ini kita lihat dasar pendidikan negara kita ada kelas untuk pelajar biasa dan ada kelas khas untuk pelajar cacat penglihatan, cacat pendengaran, autisme, sindrom down dan segala aspek daripada segi kecacatan dan kelemahan diambil kira tapi kita lupa ada pelajar yang kecerdasan mereka, merupakan golongan luar biasa.
Luar biasa daripada segi mereka berfikir, luar biasa daripada segi mereka belajar. Mereka juga perlukan pembelajaran yang baik," katanya semasa merasmian perkhemahan cuti sekolah PERMATA pintar negara di sini hari ini.
Najib berkata sudah tiba masanya aspek pembelajaran dan pengajaran yang sesuai untuk golongan pelajar pintar cerdas diadakan selepas sekian lama ia terbiar sedangkan ia telah lama wujud di negara-negara lain.
"Sudah sampai masanya kita melakukan perancangan untuk keperluan pelajar-pelajar seperti ini. Saya yakin program seperti ini sama ada tadika pintar, sekolah pintar, akan membawa perubahan besar pada pembentukan jati diri bangsa yang lebih hebat untuk masa akan datang," katanya.BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan