Rabu, 26 Disember 2012

2 Perkahwinan Bersejarah Guru SKHK 2012

NOVEMBER dan Disember 2012 pastinya memberi memori sangat indah kepada dua orang guru di SKHK kerana dilapangkan segala urusan olehNya di hari bersejarah menamatkan zaman bujang dan dara. Dua pasangan bergelar pengantin baru itu ialah cikgu Norhasima Abd Kadir (Shima) dan pasangannya Mohd Zahran Abd Karim serta cikgu Noorhyzarr Abd Hamid (Jatt @ Joc Chop). AJK PIBG SKHK mengucapkan tahniah dan selamat melayari kehidupan bergelar suami-isteri semoga berbahagia hingga ke syurga.

Selasa, 25 Disember 2012

WARGA GURU SKHK BIMBANG BANJIR ANCAM NYAWA

HULU KELANG: Warga guru Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK), Selangor bimbang kejadian berulang kali banjir kilat di sekolah ini, boleh mengancam keselamatan murid. Kebimbangan ini diluahkan Guru Besar SKHK, Kamis Md Nor ekoran banjir kilat yang berlaku baru-baru ini. Hampir separuh dewan sekolah, kantin, tempat letak kereta dan bilik guru dinaiki air sedalam dua meter. SKHK yang juga popular dengan gelaran Sekolah P Ramlee, kerana sebahagian penggambaran filem Masam Masam Manis pernah dirakamkan di situ pada 1965. “Saya bimbang kejadian ini bukan sahaja merosakkan peralatan sekolah seperti kerusi, meja dan buku-buku malah boleh mengancam nyawa serta keselamatan anak-anak murid yang sedang belajar. “Kalau hujan lebat berlaku pada sebelah petang, kawasan rendah seperti kantin, dewan, bilik guru dan tempat letak kereta dinaiki air sedalam dua meter. “Ini kerana terdapat longkang besar menjadi laluan air menuju masuk ke Sungai Kelang sering tersumbat termasuk tanah menimbus laluan longkang menyebabkan air limpah masuk ke kawasan sekolah. “Saya juga risaukan nasib murid-murid kelas petang iaitu murid Tahun 2 yang menghadapi kesulitan jika berlaku hujan lebat semasa waktu rehat. “Ini kerana kantin sekolah mudah dinaiki air menyebabkan mereka tidak dapat menikmati waktu rehat dengan sempurna selain kesukaran guru-guru berulang alik ke kelas lain,” katanya. Ekoran itu beliau yang membuat aduan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Gombak (PPD Gombak) mengenai perkara ini sebelum kejadian tidak diingini berlaku. Berikutan aduan tersebut, Pegawai Pelajaran Daerah Gombak Dayang Fatimah Abg Narudin bergegas meninjau ke kawasan kejadian dan berjanji akan membantu menangani masalah yang dihadapi oleh sekolah berkenaan secepat mungkin. Khuatir banjir kilat ini akan menjejaskan bangunan asal SKHK yang dibina pada 1883, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) meminta agar status sekolah yang kini berusia 119 tahun ini diuar-uarkan sebagai bangunan warisan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN). Yang Dipertua PIBG SKHK, Abdul Razak Hussein ketika dihubungi berkata meminta Jabatan Warisan Negara sudah sewajarnya bangunan asal SKHK dinaik taraf menjadi bangunan warisan negara sudah melebihi usia 100 tahun. “Saya berharap JWN akan segera mengambil daya usaha menyelamatkan bangunan ini kerana ia mempunyai sejarah tersendiri. “Malah insiatif ini dapat menjadi kenyataan pada tahun depan sekaligus memberi peluang orang ramai mengunjungi bangunan ini sebagai lokasi pelancongan,” kata Abdul Razak.

Karyawan, SKHK jayakan Karnival Cinta Muzik Selangor

PERSATUAN Karyawan Malaysia (Karyawan) yakin penganjuran Karnival Cinta Muzik Selangor pada 15 Disember lalu berjaya menarik golongan muda bagi mengetahui bidang itu secara lebih dekat. Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, berkata, acara yang berobjektifkan untuk membudayakan muzik kepada masyarakat itu bakal menggabungkan beberapa elemen seperti persembahan, pembelajaran, dan demonstrasi yang bakal melibatkan pemuzik dan artis terkenal tanah air. "Karnival itu adakah satu lagi cara Karyawan untuk membangunkan industri muzik dan memberi kefahaman kepada umum definasi muzik itu sendiri di dalam skop yang lebih terperinci tetapi secara santai. "Kami yakin golongan muda akan menyukai karnival tersebut kerana pelbagai aktiviti diadakan disamping nama-nama besar dalam industri muzik akan turun padang pada hari itu nanti," katanya. Ia akan diadakan di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang bermula pukul 12 tengah hari sehingga 10.30 malam. Yazid daripada kumpulan Search turut mengadakan bengkel mengenai tips drum pada karnival itu nanti selain Andy Floppy dan ramai lagi klinik muzik yang diadakan. Dalam pada itu, Freddie berkata, pada sebelah malam karnival itu nanti turut diadakan Konsert Santai Tabung Untuk Gaza bagi tujuan mengutip derma untuk membantu mangsa kekejaman rejim zionis di Semenanjung Gaza, Palestin. Kata Freddie, ramai artis terkenal akan berkumpul pada malam itu nanti bagi memberikan sokongan untuk membantu golongan kurang bernasib baik itu. "Sambil kita berhibur dan mendapatkan ilmu, kami juga ingin bersama-sama menghulurkan bantuan kepada masyarakat Gaza yang memerlukan bantuan," jelasnya. Sementara itu, Freddie berkata, karnival tersebut turut mengadakan bengkel muzik seperti gitar, bass, drum dan vokal yang akan dinaungi oleh artis-artis seperti Man Kidal, Neves (Pretty Ugly), Yazid Search dan Andy (Flop Poppy). Manakala turut diadakan adalah pertandingan seperti Gitar Hero, Drum Battle dan pertandingan karaoke dengan pelbagai tawaran hadiah menarik.

Selasa, 21 Ogos 2012

Salam Syawal Maaf zahir Batin 1433 Hijrah

Sempena dengan kedatangan 1 Syawal, seluruh AJK PIBG mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut hari lebaran 1433 Hijrah semoga Aidilfitri yang menjelma membawa kecerian buat semua. Maaf Zahir Batin.

Ahad, 15 Julai 2012

Seminar Keibubapaan Menangani Isu LGBT dapat sambutan hangat Guru, PIBG Daerah Gombak

KUALA LUMPUR: Sabtu lalu dewan yang mampu memuatkan 2,500 orang, telah berlansung seminar keibubapaan (menangani isu LGBT) di K Club Worldwide, di Taman Melawati. Kehadiran pegawai pelajaran dari Pejabat Pelajaran Daerah Gombak (PPD Gombak), guru-guru dari 130 sekolah di daerah Gombak dan pemimpin serta ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), membuktikan perihatin para peserta demi tidak melepaskan peluang mendengar dan berkongsi maklumat mengenai isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgander (LGBT) yang sedang hangat diperkatakan ketika ini. Reaksi peserta yang hadir, rata-rata berpuas hati kerana dapat mengetahui isu semasa ini dengan mendalam dan menambah input pengetahuan kepada mereka agar dikongsi dan dijadikan sumber rujukan para guru di sekolah serta perjumpaan PIBG. Guru besar Sk Hulu Kelang (SKHK) Encik Kamis Md Nor, yang dipertua PIBG Encik Abdul Razak Hussein, naib YDP PIBG, sdr Zaini Zaa, ajk PIBG Sdr Zam dan guru kaunseling SKHK, cikgu Riduan Ariffin turut hadir menyemarakan seminar ini. Seminar tiga sesi ini yang bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 1.30 petang, dirasmikan Datuk Haji Shahlan Haji Ismail, pengerusi majlis permaufakatan PIBG sekolah sekolah Putrajaya yang turut merumuskan sesi yang dibincangkan sepanjang seminar ini diadakan. Dua penceramah khas, Cr. Haji Hushim Haji Salleh dari Husim Motivational & Counselling Consultancy dan Dr Adian Husaini, ketua program pasca sarjana pendidikan Islam dari Universiti Ibn Khaldun, Bogor, Indonesia menyampaikan ceramah masing-masing dengan bersantai. Cr. Haji Hushim Haji Salleh menyampaikan ceramahnya bertajuk Pengenalan LGBT (Overview dan Simptom LGBT) manakala Dr Adian Husaini pula memperkatakan mengenai Sejarah & Kesan LGBT dalam konteks Indonesia. Turut dinanti-nantikan peserta, sesi perkongsian pengalaman dengan bekas gay dan transgender yang ditemubual oleh Haji Hushim di pentas dalam suasana samar-samar demi menjaga moral tetamu. Seminar anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dengan kerjasama Majlis Permaufakatan PIBG Sekolah Sekolah Putrajaya ini, diakui berjaya mendedahkan isu ini dengan jelas serta memberi pendedahan meluas kepada peserta yang hadir. Tahniah kepada penganjur menganjurkan seminar ini. Dihadap diadakan lagi sesi seperti ini pada masa akan datang.

Jumaat, 13 Julai 2012

SKHK BANGGA SENAMROBIK 1M1S1M CATAT REKOD

HULU KELANG, SELANGOR: Kementerian Pelajaran sekali lagi melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) melalui penglibatan lebih 3.6 juta murid dalam Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia (1M1S1M) peringkat kebangsaan, minggu lalu. Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK) tidak terkecuali menyertai program senamrobik yang diadakan serentak di 10,000 ribu sekolah di seluruh negara, dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Wawasan USJ 15, Shah Alam, Selangor. Program 1Murid 1Sukan mewajibkan setiap murid sihat mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sejajar dengan hasrat untuk memupuk budaya bersukan di sekolah. Guru besar SKHK, Kamis Md Noor, mengetuai Senamrobik 1Murid 1Sukan 1Malaysia bersama-sama guru dan murid-murid, menyifatkan program ini sangat positif sebagai aktiviti amalan sepanjang tahun di semua sekolah seluruh negara. “Aktiviti senamrobik ini akan dapat mengekalkan lajakan berterusan pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan,” kata guru besar ini yang baru sebulan menjadi warga di SKHK. Turut memeriah program ini, penyertaan ibu bapa dan ahli jawatan kuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).