Ahad, 28 Februari 2010

Rosmah saran peranan Persatuan Pandu Puteri kaji semula

KUALA LUMPUR - Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia meminta pergerakan itu mengkaji semula peranannya supaya seiring dengan keperluan semasa.


Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan kewujudan persatuan itu terus relevan dan memberi impak terhadap masyarakat.


"Persatuan Pandu Puteri seharusnya keluar daripada aktiviti-aktiviti yang hanya berkisar khusus untuk anggota semata-mata.


"Sebaliknya persatuan perlulah merangka peranan dan tanggungjawab, bagi memastikan ia terus popular, relevan, segar dan disegani sebagai sebuah persatuan yang menyumbang kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat secara amnya," katanya ketika melancarkan Hari Peringatan Sedunia Persatuan Pandu Puteri Malaysia.


Rosmah berkata persatuan itu harus melaksanakan proses penjenamaan semula dan berfikir di luar batasan terutama dalam mencari jalan untuk membantu remaja wanita negara ini membangunkan potensi mereka sepenuhnya.


Merujuk tema Hari Peringatan Sedunia Pandu Puteri tahun ini iaitu "Bersama Kita Membasmi Kemiskinan dan Kelaparan", Rosmah berkata pendidikan merupakan teras utama serta pelaburan terpenting bagi membantu seseorang individu itu keluar daripada kitaran kemiskinan.


Beliau mencadangkan agar persatuan menganjurkan program berbentuk pendidikan untuk anggota-anggota seperti kelas tambahan, program 'mentor-mentee' dan kursus motivasi.


"Melalui program sedemikian, anggota-anggota yang telah berjaya boleh menghulurkan bantuan dalam bidang pembelajaran kepada anggota lain yang memerlukan tunjuk ajar dan bimbingan.


"Usaha ini akan dapat membantu persatuan dalam memacu hala tuju mereka supaya dapat bersama-sama mendukung matlamat persatuan dalam melahirkan anggota berwibawa dan berjaya," katanya.


Rosmah turut menyarankan Persatuan Pandu Puteri supaya terus menjalankan program penambahan anggota daripada pelbagai kaum termasuk dari luar bandar bagi memantapkan lagi persatuan.


"Saya tidak mahu Persatuan Pandu Puteri Malaysia hanya dipelopori oleh satu-satu kaum sahaja tetapi perlulah dizahirkan menerusi penyertaan anggota berbilang bangsa seiring matlamat gagasan 1Malaysia," katanya.


Sehubungan itu, beliau meminta persatuan itu turun padang dan mendekatkan diri dengan masyarakat di samping memberi penerangan mengenai kepentingan kewujudan persatuan itu dan program kepanduan yang dijalankan.


Penubuhan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Kuala Lumpur pada 1916 dengan moto "Selalu Sedia" adalah berdasarkan Pergerakan Pengakap yang diasaskan oleh seorang tentera British Lord Robert Stephenson Smyth Baden-Powell pada awal 1900. -BERNAMA

Ahad, 14 Februari 2010

Hampir 60% murid belum kuasai kemahiran asas 3M


Keterangan gambar: MUHYIDDIN Yassin bersama pelajar yang menghidap penyakit kerapuhan tulang, Siti Nurfarah Hanim Azman, 13, yang didukung bapanya, Azman Mohamad selepas menyampaikan anugerah kecemerlangan UPSR dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sempena Program Juara Rakyat di Dewan Majlis Daerah Besut, Terengganu.



BESUT - Hampir 60 peratus pelajar tahap satu (tahun satu, dua dan tiga) di sekolah seluruh negara setakat ini masih belum dapat menguasai kemahiran asas Membaca, Menulis dan Mengira (3M).


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, menyedari hakikat itulah Kementerian Pelajaran merangka beberapa program termasuk memastikan mereka yang kurang berkeupayaan mengikuti kelas pra-sekolah bagi meningkatkan penyertaan kepada 87 peratus menjelang tahun 2012.


Beliau berkata, ini sejajar dengan langkah kerajaan menggariskan beberapa sasaran penting di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan.


''Pencapaian kini hanya pada tahap 60 peratus dan kita akan meningkatkan kadar penyertaan murid kepada 87 peratus menjelang tahun 2012," katanya semasa berucap merasmikan Program Juara Rakyat Peringkat Bahagian Besut di Dewan Gong Kemuntong Jerteh.


Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga akan memperkasakan pendidikan pra-sekolah dalam usaha memastikan semua murid pra-sekolah di negara ini berpeluang mendapat pendidikan asas lebih sempurna.


Katanya, selain melatih dan mengambil lebih ramai guru pra-sekolah kerajaan juga akan menyediakan peruntukkan besar bagi memastikan peluang diberi kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan.


Ditanya mengenai aduan sesetengah pengetua kononnya mereka masih berada tahap Gred Memangku DG 48, sedangkan kementerian berjanji menyelesaikan sejak tahun 2008,Muhyiddin berkata pihaknya akan membuat kajian secara menyeluruh berhubung aduan itu.


Katanya, ini penting sejajar dengan hasrat kementerian merangka program menarik untuk memberikan insentif setimpal kepada pengetua, guru besar dan kakitangan sekolah yang berjaya melonjakkan pencapaian sekolah masing-masing.


Mengenai pemilihan pengetua cemerlang, beliau berkata, pemilihan mereka dibuat secara adil dan telus tanpa mengira sama ada di sekolah terpilih atau luar bandar.


''Ada juga persatuan memberi maklum balas tentang guru tersebut dan kementerian sudah ambil usaha untuk memartabatkan profesion pendidikan," katanya.


Mengulas tentang dakwaan sesetengah pihak yang menganggap 20 sekolah yang diumumkan menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) baru-baru ini sebagai elitist, beliau menegaskan ia adalah dakwaan yang tidak benar.


Ujar Muhyiddin, langkah tersebut adalah sebagai usaha mengiktiraf pencapaian sekolah dan guru besar sekolah tersebut selain menjadi penanda aras kepada kecemerlangan yang membolehkan sekolah itu dijadikan contoh oleh sekolah lain untuk mencapai kejayaan yang lebih baik.


Tambahnya, bagi proses jangka masa panjang, kerajaan juga akan menjadikan semua sekolah di seluruh negeri sebagai sekolah cemerlang dalam usaha memenuhi permintaan yang semakin bertambah.


"Dalam tahun ini juga kita merancang akan mengadakan penambahbaikan terhadap semua sekolah..jadi tidak akan timbul lagi isu ibu bapa yang berebut-rebut ingin menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama.


"Jika sekolah itu tidak sampai hingga ke peringkat cemerlang sekalipun kita akan memastikan ia akan mencapai tahap yang lebih baik.


"Justeru itu jika tahun ini kita hanya 20 buah sekolah sahaja dijadikan sebagai SBT, tahun depan kita jadikan 30 buah manakala tahun depan lagi kita jadikan 50 buah pula bagi membolehkan semua anak-anak dapat belajar di SBT," jelasnya.

Sabtu, 13 Februari 2010

Takwim Aktiviti & Corat Coret PIBG

Keterangan gambar: YDP baru PIBG, Encik Mohd Razak bersama Setiausaha Kehormat PIBG, Encik Mohammad Hafiz bergambar kenangan selepas Mesyuarat Agung PIBG SKHK 2010.
Keterangan gambar: Pengusaha kantin, Enci Mohd Latiff berbertukar-tukar pandangan mengenai berbagai perkara dengan Penghulu Mukim Hulu Kelang, yang Berbahagia Zaimi Ghazali (kanan).
Keterangan gambar: Lihatlah betapa uzurnya meja dan kerusi kantin yang sepatutnya sudah diganti baru sesuai dengan piawaian kantin sekolah-sekolah kebangsaan.
Keterangan gambar: Pak Ya, penulis veteran turut hadir memberi pendapatnya tentang kurangnya komitmen ibu bapa dalam menjayakan mesyuarat agung PIBG

SEPANJANG Februari ini berlangsung beberapa aktiviti. Antaranya, majlis penyampaian watikah pengawas, latihan rumah sukan, cuti sekolah sempena sambutan Gong Xi Fai Cai dan mesyuarat AJK PIBG kali kedua pada tahun ini.

Sementara itu, AJK PIBG menyusun beberapa perkara atau usul untuk dibangkitkan di dalam mesyuarat kali ini.

Antaranya, mensyorkan lagu Negaraku dan lagu patriotik di nyanyikan setiap pagi, bertujuan menaikkan semangat cintakan negara dan sayangi sekolah, mengadakan seminar keibubapaan dan memanggil ibu bapa pelajar yang bakal menduduki UPSR tahun ini memeberi penerangan tugas dan peranan sebagai sokongan kepada kejayaan anak-anak mereka.

Usul lain yang dapat dibangkitkan ialah perkhidmatan kantin dapat dipertingkatkan dengan layanan mesra dan cepat, penggantian meja dan kerusi yang tidak mengikuti piawaian kantin sekolah-sekolah kebangsaan selain mensasarkan pencapaian akademik khasnya murid yang bakal menduduki UPSR pada tahun ini seramai 40 orang!

AJK PIBG berdoa harapan ini dapat diterjemahkan oleh guru yang bertanggung jawab dengan sepenuh komitmen, insya-Allah.

Ahad, 7 Februari 2010

Gambar-gambar di Mesyuarat Agung PIBG SKHK Kali Ke-35

Keterangan gambar: Rakaman foto kenangan bersama Penasihat PIBG Yang Berbahagian Guru Besar Encik Mohamad Alwan Bin Ginen bersama AJK baru dan lama PIBG.
Keterangan gambar: Apa yang tertarik sangat kepada AJK PIBG sehingga terteleng Cikgu Sifly

Keterangan gambar: Perbincangan antara AJK dengan Penasihat PIBG, Yang Berbahagia Guru Besar Encik Mohamad Alwan Bin Ginen.

Keterangan gambar: Sdr Abdul Rahman asyik melihat naskah minit mesyuarat agung PIBG.

Keterangan gambar: Ini wajah sebenar yang tak mampu kru blog nak sorok dari khalayak pengunjung laman sesawang ini. Kosong dan menyedihkan kepada PIBG yang mengharapkan sokongan dengan kehadiran semua ibu bapa seramai lebih seribu lima ratus orang! Kata seorang AJK PIBG, masalah serupa berlaku setiap kali mesyuarat agung PIBG di sebahagian sekolah di negara ini.

Keterangan gambar: Ceria dan manis dari dua guru yang mempunyai berbagai pengalaman pahit dan manis sepanjang bertugas sebagai 'cikgu'

keterangan gambar: Lagi sebahagian pendidik anak bangsa yang hadir di majlis mesyuarat agung PIBG SKHK kali ke-35.

Keterangan gambar: Sebahagian guru yang hadir bergaya dengan pakaian batik berwarna ungu dan jingga, tenang mendengar amat dari penasihat PIBG.

Suasana yang dirakamkan semasa majlis Mesyuarat Agung PIBG SKHK Kali Ke-35 yang diadakan di Dewan Perindu, SKHK, penghujung Januari lalu.

Dalam mesyuarat ini berbagai pertanyaan dari ibu bapa diutarakan dan mendapat jawapan yang boleh melegakan terutama soal pencapaian murid Tahun 6 yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR pada September depan.








Jumaat, 5 Februari 2010

Pelantikan AJK baru dan Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-35

TANGGAL 23 Januari lalu, berlangsungnya, Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-35 bertempat Dewan Bisikan Kalbu.
Sebelum mesyuarat bermula diadakan majlis Hari Apresiasi Kecemerlangan Akademik 2010 bagi meraikan kejayaan 52 pelajar terbaik dalam kelas, mata pelajaran, lonjakan akademik dan terbaik dalam aliran, dari Tahun 1 hingga Tahun 5.
Mesyuarat Agung yang dipengerusikan Encik Ariffin Bin Mansor, kali ini berlaku perubahan kepimpinan dalam PIBG. Ini ekoran Yang DiPertuanya, Tuan Mejar Jefri B Mohd Isa, mengundur diri dari memimpin PIBG kerana ingin melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang (USM).
Selain Tuan Mejar Jefri, dua lagi ahli Jawatankuasa (AJK), Encik Sudin Bin Kassim dan Encik Abd. Rani Bin Yaacob, turut melepaskan jawatan atas sebab-sebab faktor seperti berpindah tempat kerja. Ketiga-tiga Jawatankuasa tersebut, sempat berkhidmat selama setahun namun banyak sumbangan dan jasa mereka telah diberikan kepada PIBG.
Seluruh pengurusan PIBG SKHK mengucapkan terima kasih kerana komitmen sepanjang berada di kerusi persatuan.
Di akhir mesyuarat, Encik Abdul Razak Bin Hussin, pengarah ekskutif syarikat pelancongan, dipilih sebulat suara mengisi jawatan Yang DiPertua PIBG sesi 2010-2011. Sementara dua AJK baru turut dilantik iaitu Encik Rohaizat Saryan dan Puan Noriah Hani. Lain-lain AJK sedia ada, seperti Encik Ariffin Bin Mansor (Timbalan Yang DiPertua), Encik Ramli Bin Abdul (AJK), Encik Abdul Ghaffar Bin Saidin (AJK), Encik Saini Bin Kulop Kechil (AJK), Encik Zohari Bin Ahmad (AJK) dan Encik Razi Bin Ayob, mewakili pemimpin masyarakat setempat.
Kurang dari lima puluh ibu bapa yang hadir di dalam mesyuarat ini, jumlah yang sangat sedikit berbanding tahun lalu. Namun apa yang terkilan, jika diukur jumlah kehadiran hanyalah 18 peratus dari 804 murid yang memulakan pengajian mereka pada tahun ini. Persoalannya, kenapa masih kekal dengan budaya enggan bekerjasama dan mementingkan tugas daripada membincangkan masa depan anak-anak.
Sudah sampai masanya anjakan pradigma berlaku di minda ibu bapa, jika mahukan kejayaan dicapai oleh anak kita! Fikir dan renungkanlah...