Selasa, 21 April 2009

Peristiwa




















Kejohanan Olahraga Tahunan SK Hulu Kelang 2009

Meriah dan mendapat sambutan daripada ibu bapa yang datang sejak dari awal pagi hingga acara terakhir iaitu penyampaian hadiah dan pengumuman Rumah Kenari sebagai juara Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang 2009 sekaligus memecah tradisi yang dimonopoli rumah Helang, juara tiga tahun berturut-turut.
Kejohanan Olahraga Tahunan SK Hulu Kelang, yang diadakan di padang SKHK pada 19 April lalu, diceriakan dengan kehadiran Gurubesar SKHK Encik Mohamad Alwan Ginen, Penghulu Mukim Daerah Hulu Kelang Encik Zaimi Ghazali, Yang DiPertua PIBG SKHK Tuan Mejar Jafri Md Isa, Pengerusi JKK Kampung Pasir Encik Razi Ayop dan ahli jawatankuasa (AJK) PIBG SKHK.
Sepanjang kejohanan ini diadakan, selain murid-murid (dikenali sebagai All Star), bapa (Bujang Lapok) dan guru (Wings of Knowledge) berentap dalam acara 8X100 meter.
Bagaimanapun Bujang Lapok sekadar menduduki tangga kedua dan juara milik All Star dengan mencatat kepantasan. Sementara ibu dan guru terbabit dalam aktiviti antaranya acara Untaian Kasih menerima cenderamata berupa medal daripada Tuan Gurubesar, Mohamad Alwan Ginen.
Namun kejayaan paling manis bagi olahragawati adik Aina Balqis Khairozi (P6) dari Rumah Bangau apabila berjaya menggondol tiga emas dalam acara 100m, 200m dan 4X100m. Adik Aina Balqis adalah pelajar Tahun 5 mewakili Daerah Gombak Peringkat MSSM 2009.
Berikut senarai penuh keputusan Kejohanan Olahraga tahunan SK Hulu Kelang 2009.
Keseluruhan
Johan: Rumah Kenari - 324 mata
Naib Johan: Rumah Helang - 302 mata
Tempat ketiga: Rumah Bangau - 296 mata
Tempat keempat: Rumah Merak - 226 mata
Perbarisan:
1. Rumah Bangau - 347 mata
2. Rumah Kenari - 326 mata
3. Rumah Merak - 325 mata
4. Rumah Helang - 315 mata
Olahragawan/Olahragawati:
L4 Muhd Zulhaizan Mawari (Rumah Bangau), 2 emas (100m, 4X100m) & 1 perak (lompat tinggi)
P4 Nur Aini Ashikin (Rumah Kenari), 3 emas (100m, 200m & 4X100m)
L5 Audi Ihsan Muhd Asri (Rumah Helang), 2 emas (100m, 4X100m), 1 perak (200m)
P5 Aina Balqis Khairozi (Rumah Bangau), 3 emas (100m, 200m & 4X100m)
L6 Saiful Amirul Saiful Sharan (Rumah Kenari), 3 emas *100m, 200m & 400X100m)
P6 Nur Lisa Syamila (Rumah Helang), 2 emas (200m, 4X100m) & 1 perak (100m)
Semoga tahun hadapan akan terus mencatat kejayaan dan memberi cabaran. Terima kasih kepada para ibu bapa yang memeriahkan majlis ini.

Sabtu, 18 April 2009

Bersatu teguh...

















Sepakat membawa kerjasama erat
Sesungguhnya jika tradisi berat sama dipikul, yang diwarisi sejak turun-temurun diamalkan, segala kerja menjadi mudah.
Inilah yang dapat diungkapkan pada suatu petang Jumaat di padang Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK) menyaksikan hubungan erat antara bapa dan guru mendirikan khemah untuk anak murid berlindung dari hujan dan panas sepanjang berlangsungnya acara sukan tahunan sekolah.
Dengan segala kekurangan termasuk pengetahuan memasang khemah namun alhamdulillah akhirnya sebanyak tujuh buah khemah dapat didirikan, di bawah terik matahari. Terima kasih teramat sangat kepada anak murid yang datang membantu tanpa mengira berat atau ringan, mereka dengan rela hati dan bersemangat menolong!
Alangkah baiknya jika sikap kerajinan dan sukarela anak-anak kecil ini menjadi contoh kepada para bapa yang mempunyai masa terluang datang membantu!
Juga tidak ketinggalan kepada kehadiran guru besar SKHK, Encik Mohamad Alwan Ginen yang meluangkan masa membantu. Kepada Yang DiPertua PIBG Mejar Jefri Mohd Isa, ribuan terima kasih kerana berusaha mendapatkan khemah untuk hari sukan dan serta kepada ahli jawatankuasa PIBG SKHK iaitu Ramli Abdul, Ab Ghaffar, Zohari dan Sudin Kassim.
Terima kasih juga kepada semua guru yang bersemangat membantu, antaranya cikgu Mohammad Hafiz, cikgu Azmi, cikgu Yusof, cikgu Sifly Saari (sekadar menyebut beberapa nama) dan kepada ATM.
Jom raikan acara sukan tahunan yang menjadi program menemukan ibubapa, guru dan murid. Selamat bersukan dan meraih kejayaan kepada anak murid yang bertanding termasuk ibu bapa.

Khamis, 16 April 2009

Kejayaan & Pencapaian















Kongsi catatan hati seorang insan berbudi pekerti bernama Nik Nur Madihah


ALHAMDULILLAH dengan penuh kesyukuran adik Nik Nur Madihah melafaz kegembiraan kerana tanpa menduga sebuah buku catatan suka duka berjaya diterbitkan. B
Buku berjudul Catatan Hati Nik Nur Madihah setebal 126 muka surat dengan cetakan yang kemas dan kulit depan bersalut licin dan timbul sememang bermutu terbitan Hijjaz Records & Publishing, kini sudapun berada di pasaran. Majlis pelancaran buku yang berharga RM29.90 seunit, di Hotel Royale Bintang, Damansara petang Khamis lalu, pastinya menjadi naskah pilihan kepada pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Ke-28 di PWTC, bermula Jumaat ini.
Mengimbas kejayaan dan cabaran yang ditempuhi oleh adik Nik Nur Madihah, yang lebih senang membahasakan diri sebagai Dihah, sebelum meraih keputusan cemerlang dalam keputusan SPM tahun lalu dengan pencapaian 20A, peminat Datuk Siti Norhaliza berharap dengan kelahiran buku ini dapat menjadi dorongan semangat kepada sesiapa sahaja jika ingin berjaya dan perjuangan menggali ilmu sewajarnya sebagai ibadah yang penting.
Turut hadir dimajlis ini ayah Dihah iaitu Nik Mohd Kamal Husin dan ibunya Mariyani Omar. Semoga kejayaan Dihah akan dapat menyuntik setiap pelajar bercita-cita menjadikan kejayaan sasaran utama dan kemiskinan bukanlah penghalang untuk meraih kejayaan.
Kata Dihah lagi, bahawa ilmu pengetahuan adalah sahabat bagi seorang pelajar walaupun terpaksa menempuh kesukaran dan cabaran. Jika ingin bersama merai kejayaan emailkan catatan anda pula kepada nazir_dinie@yahoo.com










Selasa, 14 April 2009

Kursus Badan Berunifom

136 Pengakap Daerah Gombak sertai kursus kepimpinan


HULU KELANG, SELANGOR: Seramai 136 anggota Pengakap Daerah Gombak menyertai kursus modul Ketua Enam Sekawan, yang berakhir tengah hari Sabtu lalu.

Kursus tahunan ini diadakan selama dua hari di tapak perkhemahan di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK), dekat sini.

Turut serta anggota pengakap perempuan yang terpilih dari 20 buah sekolah rendah sekitar Daerah Gombak. setiap sekolah menyertakan empat orang pengakap.

Program yang dikendalikan bersama 20 jurulatih, memberi tunjuk ajar asas kepimpinan kepada empat kumpulan dalam berbagai aspek bagi melahirkan ketua atau pemimpin yang wibawa.

Antara sekolah yang terbabit dalam kursus kepimpinan enam sekawan ialah Sekolah Kebangsaan Gombak 1 dan 2, Sekolah Kebangsaan Taman Selasih, Sekolah Kebangsaan Lembah Keramat dan sebagainya.

Selama dua hari, menu popular yang dihidangkan seperti nasi goring dan nasi putih dengan sup ayam menjadi hidangan kepada anggota pengakap.

Sementara itu Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang (SKHK) yang diketuai oleh Cikgu Sifly Saari sebagai Ketua e-Sekawan, menyifatkan perkhemahan kali ini penuh cabaran terutama musim hujan yang tidak menentu.

SKHK yang menjadi tuan rumah sejak beberapa tahun lalu. Biasanya kursus perkhemahan pengakap diadakan di FRIM, Kepong dan Bukit Labun. Namun kali ini diadakan di padang sekolah.

Antara modul kursus yang disediakan kepada anggota pengakap ialah model kepimpinan kursus enam sekawan yang diketuai oleh Cikgu Sifly Saari (SKHK), Cikgu Rosdi Musa, Cikgu Shahrom (pakaian seragam base 1), Cikgu Arulnathan (tugas ketua e sekawan) dan ramai lagi tenaga pengajar.

















Jumaat, 10 April 2009

Tahniah!


Tahniah dari warga PIBG SKHK
Tan Sri Muhyiddin Yassin
sebagai Menteri Pelajaran

Seluruh warga kerja Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang, mengambil kesempatan mengalu-alukan pelantikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyandang jawatan Menteri Pelajaran, baru-baru ini.
Semoga dengan kehadiran beliau akan menyemarakkan semangat hebat Kementerian Pelajaran dengan berbagai elementasi yang mantap kepada sekolah dan Persatuan Ibu bapa dan Guru.